Wednesday, 10 September 2014

Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KanWork 2014

06 September 2014, Putrajaya. Bertempat di Lobi Bilik Seminar Aras 4, Institut Kanser Negara telah diadakan satu program tahunan KanWork iaitu Majlis Ramah Mesra Aidilfitri (MRMA 2014). Program ini telah dihadiri seramai 300 orang tetamu jemputan yang terdiri daripada ahli KanWork serta keluarga, NGO, sukarelawan, doktor pakar dan wakil hospital, pesakit dan survivor kanser serta ahli akedemik. Kanwork juga amat berbesar hati kerana Ketua Pengarah LPPKN, Dato Dr Siti Norlasiah Ismail dan Ketua Pengarah IKN, Dr Asmayani Khalib sudi meluangkan masa menghadiri majlis ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Tuan Haji Kamarudin dan diikuti dengan ucapan aluan oleh Pengerusi KanWork, Prof Dr Mazanah Muhamad. Pengerusi KanWork turut memberikan penghargaan kepada semua yang hadir dan menjayakan majlis. Ini termasuk Penaja Buku Rawatan Doa (cetakan terkini) Dr Mastura Md Yusoff, ahli KanWork, para survivor dan pesakit kanser, wakil-wakil NGO, Hospital dan lain-lain institusi. Turut tidak dilupakan sukarelawan, ahli keluarga dan lain-lain.
Seterusnya tetamu dijemput ke ruang makan untuk menikmati hidangan juadah raya yang telah disediakan oleh Katering Rahsia Citarasa Istimewa. Terdapat pelbagai jenis juadah utama yang dihidangkan iaitu nasi impit beserta rendang ayam, soto, laksa johor dan lemang

Turut menyerikan lagi meja  juadah pembuka selera adalah pelbagai jenis potluck yang disumbangkan oleh tetamu yang hadir antaranya pelbagai jenis kek, buah-buahan, kuih muih dan candy. Para tetamu yang hadir kelihatan gembira dan ceria dapat berkumpul bersama rakan seperjuangan setelah sekian lama tidak bersua. Mereka saling bertukar cerita dan berkongsi pengalaman. Suasana di lobi menjadi meriah dan riuh rendah.
Bagi pesakit dan orang awam yang baru menyertai program anjuran KanWork ini, mereka tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling secara personal daripada doktor pakar dan rakan survivor yang lebih senior.  Pelbagai soalan diajukan bagi mendapatkan kepastian dan merungkai dilema yang mereka hadapi. Sedikit sebanyak kata-kata nasihat yang mereka perolehi dapat menaikkan semangat untuk teruskan kehidupan dengan tabah.
Sambil menjamu selera, majlis turut dimeriahkan dengan slot cabutan bertuah. Hadiah bagi cabutan bertuah sebanyak 48 set ini telah ditaja oleh ahli-ahli KanWork dan juga rakan KanWork (Partners/Donors). Dengan hadiah utamanya yang menjadi rebutan iaitu pakej penginapan 3 hari 2 malam di Legend Hotel, Cherating. Hadiah utama ini dimenangi oleh Pn Norma Muhamad.
Turut memeriahkan perjalanan majlis adalah persembahan nyanyian akustik dari artis jemputan Mr. CDnaz  dari kumpulan  Metalasia. Lagu pilihan yang disampaikan adalah lagu tema merdeka Warisan dan lagu raya, Sepasang Kurung Biru.
Akhir kata, terima kasih daun keladi kepada Team MRMAK2014, AJK dan ahli KanWork  yang telah bertungkus lumus hampir sebulan membuat persiapan bagi memastikan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri ini dapat dijalankan dengan jayanya. Tidak lupa juga kepada warga kerja IKN yang turut menyumbang tenaga di hari majlis berlangsung. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian. 
Kepada tetamu jemputan yang hadir, terima kasih diucapkan. Pihak KanWork memohon maaf sekiranya terdapat apa jua kekurangan sepanjang majlis ini berlangsung. Semoga jalinan ukhuwah sillaturrahim yang kita bina ini dapat diteruskan dan dimanfaatkan bersama demi kejayaan KanWork dan survivor kanser khasnya di masa-masa akan datang.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar pada jam 12.30 tengahari. Semoga diketemukan lagi di tahun hadapan. 2015 !!!!! InsyaAllah.

No comments:

Post a comment