Wednesday 26 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 72

SIRI 72: UBAT-UBATAN DAN PKP
Dalam proses mendapatkan rawatan perubatan di hospital/fasiliti kesihatan, selain temujanji dengan doktor dan melakukan ujian makmal, ubat-ubatan merupakan komponen penting. Kalau tidak makan ubat, jumpalah dengan doktor terbaik pun, sudah tentu sukar hendak sembuh atau menghalang penyakit dari terus merebak (komplikasi).

Dalam situasi pandemik Covid-19, Program Perkhidmatan Farmasi (PPF), KKM sentiasa prihatin dan peka terhadap keperluan rakyat. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pesakit digalakkan untuk tinggal di rumah dan mengurangkan kekerapan ke hospital kecuali rawatan tertentu.
Beberapa inisiatif diusahakan bagi memastikan pesakit khususnya penyakit kronik seperti kanser tidak terputus bekalan ubat. Bekalan ubat susulan ditambah kepada dua bulan atau lebih (mengikut stok) dan temujanji dengan farmasi di panjangkan. Ia bertujuan mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi dan ruang menunggu di samping mematuhi SOP PKP semasa. Antara inisiatif yang disediakan;
a. Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP)
Ubat di pos ke rumah/tempat pilihan pesakit (pos laju). Kos bayaran antara RM5.30 hingga RM10.00, tetapi kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh PPF bagi tempoh 5 April – 30 Jun 2020. Mulai Julai 2020 kos dibayar sendiri oleh pesakit dengan kadar minima tersebut.
b. ‘Drive thru-pharmacy’
Pesakit /wakil perlu ‘set date’ sebelum mengambil ubat susulan secara ‘drive thru’ secara percuma di farmasi tempat menerima rawatan. Antara kelebihannya; ubat berbentuk cecair, insulin dan yang memerlukan simpanan
pada suhu tertentu dapat di bekalkan, seperti pelaksanaanya di Institut Kanser Negara dan Hospital Putrajaya.
c. Sistem Temujanji
Ada fasiliti menyediakan kaunter khas di perkarangan hospital. Pesakit/wakil perlu membuat temujanji melalui ‘sms’/emel/panggilan telefon.
d. Locker 4U/MediBox
Ubat (mengikut preskripsi pesakit) diletakkan dalam ‘locker’ di tempat yang strategik. Pesakit akan diberi kunci/'password’ dan boleh datang bila-bila masa.
Alhamdulillah, bekalan ubat sentiasa mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/PKPB/PKPP). Pesakit perlu mengambil ubat mengikut arahan dan hubungi Jabatan Farmasi jika ada masalah. Petugas farmasi boleh dihubungi melalui telefon untuk mendapatkan penerangan lanjut dan kaunseling ubat-ubatan.
Noraini Mohamad
Ketua Biro Pendidikan KanWork/
Timbalan Pengarah,
Lembaga Farmasi Malaysia

No comments:

Post a Comment