Sunday, 25 January 2015

PROGRAM "CANCER & RECURRENCE"

KanWork, UPM 17 Januari 2015. Satu program pendidikan dan sokongan KanWork yang bertajuk “Cancer & Recurrence”  telah diadakan pada 17 Januari 2015 (Sabtu) di Dewan Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia. Program ini merupakan kerjasama di antara KanWork dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN).

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan tentang kanser secara umum, meningkatkan pengetahuan tentang kanser yang berulang (recur), tanda-tanda awal, rawatan, dan langkah pencegahan. Selain itu program ini juga bertujuan untuk memberi sokongan kepada para pesakit kanser dan  penjaga (carer).

Seramai lebih daripada 100 orang peserta telah hadir ke program ini. Mereka yang hadir terdiri dari pesakit kanser, survivor, penjaga (carer), kumpulan professional kesihatan (doktor & jururawat), sukarelawan kanser serta orang awam yang berminat. Program turut dihadiri oleh Dr. Rosliah Harun, Pemangku Pengarah, Bahagian Reproduktif Manusia, LPPKN yang mewakili Ketua Pengarah LPPKN.  Di antara pengisian Program Pendidikan Kanser dan Sokongan edisi pertama untuk tahun 2015 ini ialah ceramah kanser dan kumpulan sokongan. 

Ceramah kanser yang bertajuk “Breast Cancer & Recurrence” ini telah di sampaikan oleh Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz, Pakar Perunding, Pembedahan Payudara, Hospital Pantai. Initipati ceramah yang beliau sampaikan adalah berkisar tentang pengesanan awal serta tanda-tanda kanser payudara, tahap kanser payudara, rawatan, kanser yang berulang dan simptom kanser yang berulang serta rawatan susulan. Beliau juga ada menyentuh tentang gaya hidup yang sihat untuk mengelakkan risiko kanser payudara serta hak-hak pesakit yang mempunyai masalah payudara ketika mendapatkan rawatan. Beliau juga menyeru supaya segera berjumpa dengan doktor jika terdapat tanda atau simptom awal kanser payudara.  Ceramah di akhiri dengan sesi soal jawab yang mana ianya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta. 

Sesi kumpulan sokongan di bawah kendalian Pn. Hamsiah (sukarelawan kanser) turut di adakan pada hari tersebut selepas tamat sesi ceramah. Seramai lebih kurang 30 peserta (kanser survivor, pesakit kanser dan carer) menyertai kumpulan sokongan ini.  Sesi ini bertujuan untuk mereka  berkongsi pengalaman tentang kanser. Dr Azlina Firzah juga turut serta dalam sesi kumpulan sokongan tersebut. 

Satu kaunter permohonan bantuan subsidi prosthesis telah dibuka. Peserta yang berminat  perlu mengisi borang dan akan dihubungi sekiranya memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjalan seperti yang dirancang dengan kerjasama semua pihak. Pihak KanWork berharap semoga para peserta yang hadir mendapat manfaat darinya dan pengetahuan yang di perolehi boleh dikongsi dengan orang di luar sana.

No comments:

Post a comment