Tuesday, 24 February 2015

Program Kesedaran Kanser KanWork di Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara, Puchong

Bergambar setelah selesai program

PERSATUAN KANWORK. 14 Februari 2015 (Sabtu), Persatuan Kanser NetWork (KanWork) dengan kerjasama LPPKN dan Masjid Al Ehsan, Bandar Kinrara, Puchong telah menganjurkan program kempen kesedaran kanser dengan moto “kesihatan kita, tanggungjawab kita”.

Seawal jam 8.00 pagi, para petugas dan peserta telah mengambil tempat. Majlis yang bermula jam 9.00 pagi telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Omar Bin Abdul Ghani, Imam 1 Masjid Al-Ehsan, diikuti ucapan aluan oleh Tuan Haji Abdul Halim Abd. Rahman, Tuan Nazir Masjid Al-Ehsan. Majlis amat berbesar hati kerana Ketua Pengarah LPPKN, Dato’ Dr. Siti Norlasiah Ismail turut hadir bagi memeriahkan majlis. Beliau turut memberi ucapan aluan.

Seterusnya program diisi dengan ceramah kesedaran kanser oleh Prof. Dr. Norlia Abdullah, Pakar Pembedahan Payudara, PPUKM. Beliau menyentuh jenis-jenis kanser yang lazim dihidapi oleh masyarakat Malaysia, simptom awal, gaya hidup dan rawatan yang boleh diambil. Ceramah beliau yang sangat bermanfaat mendapat sambutan dari para pendengar. Sesi soal jawab telah diadakan setelah sesi ceramah selesai.

Sesi perkongsian pengalaman bersama kanser survivor juga turut diadakan. Seramai empat (4) orang kanser survivor telah berkongsi pengalaman bersama pendengar, iaitu Encik Zulkifli Muhamad (kanser kolon), Pn Yong (kanser limfoma), Pn Hajjah Rokiah Abdullah (kanser payudara) dan Encik Rosmadi Mat (kanser limfoma). Semoga sesi ini memberi inspirasi kepada para pendengar bahawa pesakit kanser masih dapat menjalani hidup yang sihat dan ceria selepas rawatan kanser.

Antara aktiviti lain yang diadakan di sepanjang program adalah pameran kanser, pemeriksaan kesihatan (ujian glukosa, ujian tekanan darah,BMI), pemeriksaan pap smear, subsidi pendaftaran memogram, subsidi prostesis dan urutan tradisional oleh MamaCare (LPPKN). Aktiviti sepanjang program ini mendapat sambutan dari para kariah masjid dan komuniti di sekitar Bandar Kinrara dan telah dihadiri seramai lebih kurang 200 orang. 

Semoga pengetahuan dan peluang  yang diberi dapat dimanfaatkan oleh komuniti untuk membuat saringan kesihatan bagi mengesan kenser dengan lebih awal dan menjadi panduan untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Terima kasih diucapkan kepada pihak LPPKN, Masjid Al-Ehsan dan para hadirin yang telah memberi kerjasama bagi memastikan program ini berjalan seperti yang dirancang. Tidak lupa juga ucapan tahniah kepada barisan AJK KanWork yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan program ini.

No comments:

Post a comment