Monday 8 June 2020

KanWork Stay @Home: Cerita Kami - Siri 41

Siri 41 : KHATIB SOLAT RAYA PKP

1 Syawal 1441 merupakan tarikh keramat bagi semua yang menjadi imam dan khatib solat sunat Aidilfitri. Pengalaman ini turut dirasai oleh saya sendiri, setelah sebulan menjadi imam solat Tarawih, kini solat sunat Aidilfitri pula.

Saya tinggal bersama 3 orang anak dan ayah mertua yang berusia 83 tahun di Taman Keramat, Kuala Lumpur. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk meraikan lebaran di rumah ahli keluarga yang lain di Bangi.

Pagi 1 Syawal, saya bergegas mengejutkan anak-anak bersiap. Raya tetap raya! Setelah berpakaian baju Melayu bersamping dan bersongkok, kami memulakan perjalanan sambil mendengar lagu raya. ‘Mood raya dah on!’. Terdetik dalam hati, kalau disuruh jadi imam macamana?

Setibanya di sana, ambil sunnah dengan menjamah sedikit juadah sebelum solat. Selepas itu, Ayah mertua memberi sedikit ‘briefing’ dan membahagikan tugas. Mengambil afdal, tuan rumah (biras saya) jadi imam. Lega sebab nama tidak dicalonkan! Tiba-tiba, “… Badrul, baca khutbah raya”. Alamak! Terus capai telefon dan cari teks khutbah dalam WhatsApp. Fuh! Nasib baik sempat baca sebelum ini.

Selesai solat, saya terus berdiri untuk membaca khutbah. Saya baca dengan jelas, setiap ayat-ayat Al-Quran cuba disebut dengan elok dan bertajwid. Rasa panjang pula khutbah ini. Sebagai seorang yang tidak pernah berkhutbah di mana-mana, memang berdebar walaupun di hadapan keluarga sendiri. Nasib baik ‘aircond’ kuat. Kalau tidak, basah baju!

Alhamdulillah selesai khutbah pertama. Tibalah khutbah kedua. Macam pelik pula teks ini. Sebelum ini doa khutbah kedua ada terjemahan Bahasa Melayu, yang ini dalam Bahasa Arab! Alamak! Silap ‘download’!. Banyak sangat teks yang ‘available’ dalam ‘Pakcik Google’ ini, terambil yang susah pula. Nasib baik permulaan doa khutbah telah melepasi syarat sah khutbah. Selepas itu, saya membaca doa yang saya hafal. Alhamdulillah, selesai. ‘Bravo Badrul!’

Saya pasti peluang menjadi imam dan khatib merupakan pengalaman yang tidak ternilai. Inilah norma baharu. Semuanya jenis ‘DIY, do it yourself’. Pengalaman ini mengajar saya tentang pentingnya ilmu dan pendedahan dalam setiap amalan supaya kita lebih peka dan bersedia untuk menjadi muslim yang lebih berwibawa.

Terima kasih kerana sudi membaca coretan pengalaman saya menjadi khatib solat raya PKP. Wasalam.

Badrul
Ahli Seumur Hidup KanWork/Penjaga Pesakit Kanser
3 Jun 2020 (11 Syawal 1441)
12.22pm

No comments:

Post a Comment