PROGRAM KEMBARA KESEDARAN KANSER KANWORK (3K) DI MASJID AL-ANSAR, TAMAN KERAMAT, KUALA LUMPUR
Persatuan KANWORK, 13 Dis 2014 (Sabtu). Program ini merupakan satu program kesedaran kanser yang dianjurkan oleh Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, Kuala Lumpur. Masjid Al-Ansar, Taman Keramat telah dipilih sebagai lokasi pertama dalam siri jelajah kesedaran kanser KanWork dan LPPKN. Seramai lebih daripada 100 orang warga jemaah kariah Masjid Al-Ansar telah meluangkan masa hadir dalam program ini.
Program 3K dimulai dengan bacaan doa oleh Imam 1 Masjid Al-Ansar, Ustaz Muliyadi bin Mohammed. Seterusnya, Tuan Nazir Masjid Al-Ansar, Tuan Haji Abd. Rashid bin Abd. Kadir telah menyampaikan ucapan alu-aluan. Di dalam ucapan beliau, Tuan Nazir telah menyentuh tentang konsep doa dan kesihatan dalam Islam yang mana banyak doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. menitikberatkan soal penjagaan kesihatan dan permohonan kita agar diberikan kesihatan yang baik oleh Allah Ta’ala. Kesihatan yang baik penting dalam urusan ibadah harian kita.
Timbalan Pengerusi KanWork, Datin Dr Nor Azizah Mat Taib telah menyampaikan kata-kata aluan dan memperkenalkan tujuan program ini diadakan. Di samping itu, beliau juga memperkenalkan KanWork kepada Jemaah masjid serta peranan serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Ucapan beliau banyak menyentuh tentang kepentingan ilmu dalam proses perjalanan rawatan kanser yang panjang khususnya kanser payudara. Beliau juga mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk tampil menjadi sukarelawan KanWork.
Dalam sesi perkongsian pengalaman, dua orang survivor dari KanWork iaitu Puan Wan Hanisah Wan Omar dan Puan Umi Purwati Sunoto telah berkongsi pengalaman mereka semasa didiagnos mendapat kanser payudara, sesi rawatan yang dijalani dan kehidupan sesudah kanser payudara.
Sebagai acara kemuncak, satu ceramah umum berkenaan kanser telah dikongsi bersama oleh Prof Dr Rohaizak Muhamad, Pakar Pembedahan (Payudara dan Endokrin), PPUKM. Di dalam ceramah beliau banyak menyentuh tentang jenis-jenis kanser yang sering dihidapi oleh masyarkat Malaysia, gaya hidup, permakanan, aktiviti senaman dan factor-faktor kanser terutamanya kanser payudara. Seterusnya, beliau menasihatkan para hadirin supaya peka pada perubahan pada diri sendiri and segera mendapatkan pemeriksaan awal dari hospital-hospital kerajaan mahu pun swasta bagi mengenal pasti punca perubahan tersebut. Ceramah beliau yang sangat bermanfaat ini diakhiri dengan sesi soaljawab, yang mana mendapat sambutan yang menggalakkan dari para hadirin.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program adalah Pameran Kanser, Teknik Pemeriksaan Sendiri Payudara, Pemeriksaan kesihatan (ujian glukosa, ujian tekanan darah, BMI dll) oleh LPPKN, Pendaftaran subsidi mammogram oleh LPPKN, Urutan Tradisional oleh LPPKN (MAMACARE) dan Edaran Risalah Kesihatan.
Pada keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya dengan kerjasama semua pihak yang terlibat. Objektif untuk meningkatkan kesedaran dan memberi maklumat tentang penyakit kanser telah berjaya disebarkan kepada penduduk setempat. Diharap segala usaha dan penat lelah yang telah dicurahkan oleh para petugas dan sukarelawan dari badan-badan yang terlibat akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dari Allah Ta’ala.
No comments:
Post a Comment