Showing posts with label Aktivi. Show all posts
Showing posts with label Aktivi. Show all posts

Thursday, 28 April 2016

Program Sokongan dan Lawatan Pesakit


Bangi, 27 Februari 2016. Persatuan KanWork telah mengadakan satu seminar khas untuk para sukarelawan sokongan pesakit KanWork. Seminar ini disampaikan oleh Ustaz Zul Ramli dan dihadiri oleh 40 orang sukarelawan sokongan pesakit. Dua topik utama yang dikupas oleh Ustaz Zul Ramli adalah  Adab-adab Menziarah Orang Sakit dan Amalan Meraih Husnul Khatimah. Ini diikuti dengan sesi soal jawab dan perkongsian pengalaman bersama  3 survivor dan penjaga pesakit kanser. Adalah diharapkan agar program ini dapat menyuntik semangat dan motivasi sukarelawan KanWork agar terus memberi sokongan (istiqamah) kepada pesakit dan keluarga yang memerlukan.

Thursday, 3 September 2015

Program Pendidikan - "Kanser : Kepentingan Pemakanan"

Jemputan ke Program Pendidikan KanWork "Kanser : Kepentingan Pemakanan" pada 19 September 2015. Sila sahkan kehadiran tuan/puan sebelum atau pada 11 September 2015 dengan menghubungi talian seperti di atas.

Tuesday, 25 August 2015

KanWork Charity Hi Tea

Bandar Seri Putra, 23 Ogos 2015 (Ahad), PERSATUAN KanWork.Tanggal 23 Ogos 2015, Persatuan Kanser Network Selangor Wilayah Persekutuan (KanWork) telah menganjurkan satu Majlis Jamuan Teh Amal KanWork (KanWork Charity Hi Tea). Majlis ini  telah  berlangsung dengan meriahnya bertempat di Pusat Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), Bandar Seri Putra. Majlis pada petang itu telah diserikan dengan kehadiran seramai 330 orang tetamu yang terdiri daripada para pesakit/survivor, sukarelawan, penjaga (carers) serta rakan-rakan kongsi KanWork. 

Majlis ini telah diadakan bertujuan untuk menjana dana bagi membantu KanWork merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang dapat membantu para pesakit Kanser dan mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan. Turut menghadiri majlis ini sebilangan besar rakan kongsi KanWork yang banyak menyokong merealisasikan aktiviti KanWork seperti PPUM, PPUKM, Hospital Putrajaya, LPPKN, Alumni UPM, Qariah Masjid Al Ehsan Bandar Kinrara, Masjid Abu Bakar As Siddiq Bangsar, Masjid Al Hidayah Taman Melawati, Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Goulin Qigong Malaysia serta beberapa rakan kongsi daripada syarikat swasta /persendirian di samping ahli-ahli dan sukarelawan KanWork serta orang awam yang ingin mengenali KanWork. KanWork juga turut menerima banyak sumbangan secara individu daripada ahli mahupun orang awam yang sangat bermurah hati membantu KanWork. 

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Adifashla, DJ terkenal Radio Erra sebagai pengacara majlis. Selain itu, peserta turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian akustik daripada Amir dan Zarul, anak muda yang sangat berbakat dalam nyanyian serta persembahan deklamasi sajak oleh Pn Adibah yang merupakan seorang pemandiri (survivor) dan juga sebuah sajak bertajuk ‘Mengenangmu” daripada  Tn Hj BadrulHaisham yang telah kehilangan isteri tersayang akibat penyakit Kanser ini.  Selain itu, peserta juga turut berpeluang mengunjungi pelbagai booth jualan yang disediakan dan mengambil peluang untuk mendaftarkan diri sebagai ahli baru KanWork. Peserta juga turut membawa pulang hadiah cabutan bertuah bagi yang berjaya.

Para pesakit dan survivor serta ahli keluarga juga turut berpeluang untuk berkenalan dan saling beramah mesra serta berkongsi pengalaman suka dan duka dalam mengharungi cabaran berdepan dengan penyakit Kanser ini. . Sesungguhnya majlis ini telah dapat mencapai matlamatnya. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua para penyumbang sama ada sumbangan daripada syarikat mahupun sumbangan secara individu. Semoga Allah merahmati semua penyumbang KanWork. Juga tahniah kepada para barisan ahli jawatankuasa induk dan Biro  Dana KanWork yang telah berusaha gigih untuk menjayakan majlis ini. Semoga majlis seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa depan.

Wednesday, 29 July 2015

KanWork Charity Hi-Tea 2015

KanWork akan mengadakan Charity Hi-Tea 2015 pada :

Tarikh : 23 Ogos 2015 (Ahad)
Masa : 2.00 - 5.00 pm
Tempat: Convention Center Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS)

Keterangan lanjut, sila rujuk pamplet di bawah.





Friday, 9 January 2015

Jemputan ke Program Pendidikan KanWork pada 17 Januari 2015

Prof/Dr/Tuan/Puan ahli KanWork, rakan kongsi Kanwork serta Tuan/Puan yang dikasihi,

Persatuan KanWork akan menganjurkan satu ceramah bertajuk "Cancer dan Recurrence" pada 17 Januari 2015 (Sabtu) di UPM seperti maklumat di atas.

Jemputan ini terbuka kepada para pesakit, survivor, ahli keluarga(carer), profesional perubatan dan kesihatan serta sesiapa sahaja yang berminta.

Ianya adalah PERCUMA. Promosi subsidi prosthesis juga akan diadakan selain aktiviti kumpulan sokongan kepada para pesakit/survivor dan carer.

Semua dijemput hadir beramai-ramai.

PROGRAM KESEDARAN KANSER KANWORK DI MASJID AL-ANSAR

PROGRAM KEMBARA KESEDARAN KANSER KANWORK (3K) DI MASJID AL-ANSAR, TAMAN KERAMAT, KUALA LUMPUR

Persatuan KANWORK, 13 Dis 2014 (Sabtu). Program ini merupakan satu program kesedaran kanser yang dianjurkan oleh Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, Kuala Lumpur. Masjid Al-Ansar, Taman Keramat telah dipilih sebagai lokasi pertama dalam siri jelajah kesedaran kanser KanWork dan LPPKN. Seramai lebih daripada 100 orang warga jemaah kariah Masjid Al-Ansar telah meluangkan masa hadir dalam program ini.

Program 3K dimulai dengan bacaan doa oleh Imam 1 Masjid Al-Ansar, Ustaz Muliyadi bin Mohammed. Seterusnya, Tuan Nazir Masjid Al-Ansar, Tuan Haji Abd. Rashid bin Abd. Kadir telah menyampaikan ucapan alu-aluan. Di dalam ucapan beliau, Tuan Nazir telah menyentuh tentang konsep doa dan kesihatan dalam Islam yang mana banyak doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. menitikberatkan soal penjagaan kesihatan dan permohonan kita agar diberikan kesihatan yang baik oleh Allah Ta’ala. Kesihatan yang baik penting dalam urusan ibadah harian kita. 

Timbalan Pengerusi KanWork, Datin Dr Nor Azizah Mat Taib telah menyampaikan kata-kata aluan dan memperkenalkan tujuan program ini diadakan. Di samping itu, beliau juga memperkenalkan KanWork kepada Jemaah masjid serta peranan serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Ucapan beliau banyak menyentuh tentang kepentingan ilmu dalam proses perjalanan rawatan kanser yang panjang khususnya kanser payudara. Beliau juga mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk tampil menjadi sukarelawan KanWork.

Dalam sesi perkongsian pengalaman, dua orang survivor dari KanWork iaitu Puan Wan Hanisah Wan Omar dan Puan Umi Purwati Sunoto telah berkongsi pengalaman mereka semasa didiagnos mendapat kanser payudara, sesi rawatan yang dijalani dan kehidupan sesudah kanser payudara.

Sebagai acara kemuncak, satu ceramah umum berkenaan kanser telah dikongsi bersama oleh Prof Dr Rohaizak Muhamad, Pakar Pembedahan (Payudara dan Endokrin), PPUKM. Di dalam ceramah beliau banyak menyentuh tentang jenis-jenis kanser yang sering dihidapi oleh masyarkat Malaysia, gaya hidup, permakanan, aktiviti senaman dan factor-faktor kanser terutamanya kanser payudara. Seterusnya, beliau menasihatkan para hadirin supaya peka pada perubahan pada diri sendiri and segera mendapatkan pemeriksaan awal dari hospital-hospital kerajaan mahu pun swasta bagi mengenal pasti punca perubahan tersebut. Ceramah beliau yang sangat bermanfaat ini diakhiri dengan sesi soaljawab, yang mana mendapat sambutan yang menggalakkan dari para hadirin.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program adalah Pameran Kanser, Teknik Pemeriksaan Sendiri Payudara, Pemeriksaan kesihatan (ujian glukosa, ujian tekanan darah, BMI dll) oleh LPPKN, Pendaftaran subsidi mammogram oleh LPPKN, Urutan Tradisional oleh LPPKN (MAMACARE) dan Edaran Risalah Kesihatan.

Pada keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya dengan kerjasama semua pihak yang terlibat. Objektif untuk meningkatkan kesedaran dan memberi maklumat tentang penyakit kanser telah berjaya disebarkan kepada penduduk setempat. Diharap segala usaha dan penat lelah yang telah dicurahkan oleh para petugas dan sukarelawan dari badan-badan yang terlibat akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dari Allah Ta’ala.

Friday, 3 October 2014

Kempen Kesedaran Kanser Payudara

Pn Asmah di dalam sesi bersama kanser survivor

PERSATUAN KANSER KANWORK. 27 September 2014, Ampang. Satu Kempen Kesedaran Kanser Payudara anjuran Biro Wanita Pertubuhan Penduduk UP4 Ukay Perdana dengan kerjasama Jabatan Pembedahan Am, Hospital Ampang, telah diadakan untuk memberi kesedaran kepada penduduk sekitar. 
Ahli KanWork, Puan Asmah Salam telah dijemput untuk berkongsi pengalaman beliau di dalam sessi perkongsian bersama kanser survivor. Terima kasih kepada Puan Asmah Salam kerana mewakili para survivor amnya dan KanWork khasnya. Semoga pengalaman yang dikongsi bersama dapat memberi kesedaran awal kepada para peserta. Gambar-gambar disekitar majlis tersebut.

Bergambar kenangan bersama penganjur dan ahli panel.

Sunday, 27 October 2013

Participation at Inaugural Wear It Pink Women's Health Summit on 22nd October 2013





Kuala Lumpur, 22 Oktober 2013:
Dua orang AJK KanWork telah menghadiri forum tersebut di atas, anjuran Hospital Pantai, Kuala Lumpur. Mereka turut serta atas jemputan Dr.Azlina Firzah Abd. Aziz, Pengerusi Summit tersebut. Summit ini merupakan sebahagian dari kempen kesedaran kanser payu dara. Peserta KanWork juga berpeluang untuk membuat jaringan dan mempromosi KanWork. Diucapkan tahniah kepada Penganjur atas kejayaan Majlis. Pihak KanWork mengalu-alukan kerjasama  di masa akan dating.

(Two KanWork committee members attended the above forum organized by Pantai Hospital, Kuala Lumpur. They were invited by the Organizing Chairperson, Dr. Azlina Firzah Abd Aziz. The summit was part of the Breast Cancer Awareness Campaign. We also have the opportunity to network and promote KanWork. Congratulation to the organizer for the successful forum. We look forward to future collaboration.)