Monday, 16 February 2015

Wanita gaji RM10,000 layak jalani mamogram percuma

Siti Norlasiah (dua, kanan) bertanya sesuatu kepada kariah masjid yang hadir membuat pemeriksaan kesihatan pada Program Kesedaran Kanser di Masjid Al Ehsan Bandar Kinrara, semalam.
KanWork, 15 Januari 2015 PUCHONG – Bagi menggalakkan lebih ramai wanita jalani ujian mamogram percuma, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melonggarkan syarat pendapatan isi rumah penerima layak daripada RM5,000 kepada bawah RM10,000. 

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail berkata, sebelum ini hanya  yang pendapatan isi rumah bawah RM5,000 berpeluang menikmati subsidi itu.

Bagi mereka yang berpendapatan isi rumah lebih RM10,000 pula subsidi sebanyak RM50 akan diberikan. Katanya, ujian boleh dilakukan di 62 pusat mamogram swasta yang berdaftar dengan LPPKN di seluruh negara.

Program subsidi itu katanya, dimulakan sejak 2007. Kerajaan memberi dana sebanyak RM25 juta pada tahun 2012, namun belum habis digunakan dan masih belum dimanfaatkan golongan sasar.

Dengan lebihan dana itu, katanya, kira-kira 100,000 lagi penerima layak boleh menikmati subsidi tersebut. Katanya, hasil pemerhatiannya lebih 50 peratus daripada mereka yang mendaftar dengan LPPKN untuk membuat ujian tersebut tidak hadir ke pusat mamogram ditetapkan. 

“Mungkin ada yang tidak pergi kerana pusat mamogram ditetapkan terletak jauh dengan rumah mereka,” katanya.

Mengambil contoh Kelantan yang tiada pusat tersebut, peserta dari negeri itu perlu melakukan ujian di pusat mamogram  di Pahang. 

“Sebenarnya LPPKN turut menanggung kos pengangkutan dan penginapan kepada yang perlu ke pusat mamogram terletak jauh dari tempat tinggal mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Kesedaran Kanser di Masjid Al Ehsan Bandar Kinrara, semalam.

Program mendapat kerjasama jawatankuasa masjid dan Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork). 

Dalam pada itu, beliau berkata, selain ujian mamogram, LPPKN turut menyediakan Program Vaksinasi Human Papillomavirus (PVHPV) secara percuma kepada wanita berusia 18 tahun.

Ia khusus mencegah kanser serviks dan wanita yang lahir pada tahun 1993 hingga 1996 adalah golongan yang disasarkan tahun ini. Bagi wanita yang berada di luar kumpulan itu, LPPKN menawarkan suntikan HPV dengan harga RM180 bagi satu dos suntikan.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/wanita-gaji-rm10-000-layak-jalani-mamogram-percuma-1.360612

No comments:

Post a Comment