Putrajaya, 19 September 2015 (Sabtu),
Persatuan KanWork. Satu program Pendidikan dan Sokongan Kanser yang bertajuk “Kanser: Kepentingan Pemakanan” telah di adakan di Auditorium, Hospital Putrajaya. Program ini adalah anjuran Persatuan Kanser KanWork dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Program ini turut disokong oleh Jabatan Pembedahan, Hospital Putrajaya. Ceramah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Suhaina Binti Sulaiman, seorang pensyarah di Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Seramai 80 orang telah hadir terdiri dari pesakit, survivor kanser, sukarelawan, carer (penjaga), serta orang awam yang berminat. Majlis turut dihadiri oleh Pn Rokiah Binti Don, Pengarah Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang mewakili Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Matron Zurina Mohd. Isa yang mewakili Ketua Pengarah LPPKN.
Diantara pengisian ceramah ialah tentang kesan sampingan rawatan berkaitan pemakanan, pemakanan semasa dan selepas rawatan, mitos dalam pemakanan kanser, diet neutropenia, saranan pemakanan untuk pemandiri kanser, peranan rawatan komplimentari dan alternatif dalam kanser serta peranan penjaga. Sesi kumpulan sokongan juga turut diadakan selepas sesi ceramah. Seramai lebih kurang 15 orang peserta (pesakit/survivor/carer) dari pelbagai latarbelakang kanser menyertai sesi tersebut. Program yang dijalankan mendapat sambutan yang menggalakkan dari peserta yang hadir.