Sunday, 30 August 2020

KanWork Stay @ Home: CERITA KAMI - Siri 74

Siri 74 : TABUNG MINI BERODA KanWork
Anda pernah dengar tentang Tabung Mini Beroda (TMB)? TMB merupakan sebuah tabung yang menjadi medium kepada program wakaf, infaq atau kempen mencari dana. TMB salah satu produk syarikat saya iaitu Muhibbah Sinergia Resources (MSR) yang fokus terhadap penghasilan produk inovasi berasaskan Sunnah dan Islamik. Ada dua jenis TMB iaitu biasa dan premium (haruman attar pada setiap menara).
Kerjasama MSR dan KanWork tercetus dari sembang bersama Dr. Othman Omar yang ketika itu ialah Pengarah, Bahagian Inovasi, Yayasan Inovasi Malaysia dan juga salah seorang Pengasas KanWork. Beliau bertanya kesesuaian digabungkan TMB dengan KanWork. Bermula dari situ, tercetus idea program TMB ini bergerak khusus untuk Kanwork melalui masjid di seluruh Selangor sejak 2015. TMB KanWork bermula dengan 35 buah tabung (tetap/pusingan) di sembilan masjid/premis.
Sehingga kini, secara keseluruhan KanWork mempunyai 60 buah tabung tetapi hanya 37 sahaja yang aktif beroperasi di 11 masjid/premis. TMB KanWork memudahkan orang ramai untuk menderma dan menjadi medium publisiti untuk KanWork.
Projek TMB KanWork terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Kutipan tidak dapat dijalankan disebabkan masjid serta premis perniagaan tidak beroperasi seperti biasa dalam tempoh itu. Di masjid, keperluan utama tabung ini adalah ketika Solat Jumaat dan ceramah agama yang mana ramai jemaah akan hadir.
Alhamdulillah, kini masjid dan premis perniagaan telah mula beroperasi dengan ‘SOP’. Insyaallah tabung ini akan bergerak semula. Semoga kerjasama MSR – KanWork akan terus kukuh. Terima kasih kepada anda semua yang pernah menghulurkan sumbangan melalui TMB ini.
Tuan Haji Noor Arjuna Abdul Ghani
Pengasas & Pencipta Tabung Mini Beroda D Masjid
Muhibbah Sinergia Resources





Friday, 28 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 73

SIRI 73: JALAN-JALAN MASUK KAMPUNG
April 2012, bermula kehidupan saya sebagai pesara selepas 30 tahun dalam perkhidmatan awam. Selesai urusan persaraan di Kuala Lumpur, saya balik ke Kelantan untuk bermastautin.
Suasana di kampung sangat santai. Bergaul dengan masyarakat kampung, berjemaah di masjid, menghadiri kelas mengaji, tetapi masih banyak masa yang terluang. Teringat pertanyaan rakan tentang ‘plan’ selepas bersara, ‘I want to give back to my people!’
Saya ‘search’ aktiviti sukarelawan sekitar Kelantan melalui Facebook. Terjumpa ‘Wargakilang’ (mengenalpasti dan membantu orang miskin tegar di pedalaman). Saya ‘start’ ikut dan memberi sumbangan. Kemudian ‘share’ aktiviti dalam Facebook, selepas itu ramai kawan turut menyumbang.
Dalam kepesatan pembangunan, ada yang dhaif, kais pagi makan petang. Ikat perut dan makan berlaukkan budu sahaja. Kami beri sumbangan bahan makanan. Mereka terharu, berlinangan air mata. Anak-anak ceria ketika diberikan ‘jajan’. Ianya menguatkan lagi semangat kami!
Pengalaman sedih sewaktu banjir besar di Kelantan pada penghujung 2014. Saya belum ada ‘4-wheel drive’ dan hanya ada sedikit dana. Terpaksa pinjam kenderaan
kawan untuk hantar bantuan. NGO lain turut memberi bantuan tetapi hanya dikumpulkan di kawasan yang sama. Bantuan tidak sampai ke pedalaman. Ada yang sehelai sepinggang apabila rumah roboh serta dihanyutkan air.

Sewaktu PKP, beberapa keluarga di kampung terputus bekalan makanan. Mereka bekerja menoreh getah, tukang rumah (upahan secara harian). Kami terus bertindak!
Tempah ‘groceries’ di kedai runcit berdekatan, ‘packing’ dan terus hantar disebabkan pergerakan terhad. Tiada aktivis berkumpul. Saya menerima sumbangan melebihi RM20,000.000 sepanjang PKP.

Selain bantuan ‘one-off’, kami ada ‘follow up action’. Mencari dana untuk baiki rumah yang sangat dhaif. Jika tiada peralatan asas seperti mesin basuh, dapur gas, kami
cuba sediakan. Bantuan persekolah diberikan seperti bayaran yuran peperiksaan, wang saku bulanan dan persediaan ke universiti.

Semoga kami terus diberi kesihatan dan kelapangan untuk terus istiqamah menyantuni yang memerlukan. Terima kasih semua sahabat yang menyalurkan dana untuk para dhuafa dan asnaf.
Wan Normah Wan Ismail
Sukarelawan KanWork



Wednesday, 26 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 72

SIRI 72: UBAT-UBATAN DAN PKP
Dalam proses mendapatkan rawatan perubatan di hospital/fasiliti kesihatan, selain temujanji dengan doktor dan melakukan ujian makmal, ubat-ubatan merupakan komponen penting. Kalau tidak makan ubat, jumpalah dengan doktor terbaik pun, sudah tentu sukar hendak sembuh atau menghalang penyakit dari terus merebak (komplikasi).

Dalam situasi pandemik Covid-19, Program Perkhidmatan Farmasi (PPF), KKM sentiasa prihatin dan peka terhadap keperluan rakyat. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pesakit digalakkan untuk tinggal di rumah dan mengurangkan kekerapan ke hospital kecuali rawatan tertentu.
Beberapa inisiatif diusahakan bagi memastikan pesakit khususnya penyakit kronik seperti kanser tidak terputus bekalan ubat. Bekalan ubat susulan ditambah kepada dua bulan atau lebih (mengikut stok) dan temujanji dengan farmasi di panjangkan. Ia bertujuan mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi dan ruang menunggu di samping mematuhi SOP PKP semasa. Antara inisiatif yang disediakan;
a. Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP)
Ubat di pos ke rumah/tempat pilihan pesakit (pos laju). Kos bayaran antara RM5.30 hingga RM10.00, tetapi kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh PPF bagi tempoh 5 April – 30 Jun 2020. Mulai Julai 2020 kos dibayar sendiri oleh pesakit dengan kadar minima tersebut.
b. ‘Drive thru-pharmacy’
Pesakit /wakil perlu ‘set date’ sebelum mengambil ubat susulan secara ‘drive thru’ secara percuma di farmasi tempat menerima rawatan. Antara kelebihannya; ubat berbentuk cecair, insulin dan yang memerlukan simpanan
pada suhu tertentu dapat di bekalkan, seperti pelaksanaanya di Institut Kanser Negara dan Hospital Putrajaya.
c. Sistem Temujanji
Ada fasiliti menyediakan kaunter khas di perkarangan hospital. Pesakit/wakil perlu membuat temujanji melalui ‘sms’/emel/panggilan telefon.
d. Locker 4U/MediBox
Ubat (mengikut preskripsi pesakit) diletakkan dalam ‘locker’ di tempat yang strategik. Pesakit akan diberi kunci/'password’ dan boleh datang bila-bila masa.
Alhamdulillah, bekalan ubat sentiasa mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/PKPB/PKPP). Pesakit perlu mengambil ubat mengikut arahan dan hubungi Jabatan Farmasi jika ada masalah. Petugas farmasi boleh dihubungi melalui telefon untuk mendapatkan penerangan lanjut dan kaunseling ubat-ubatan.
Noraini Mohamad
Ketua Biro Pendidikan KanWork/
Timbalan Pengarah,
Lembaga Farmasi Malaysia

Sunday, 23 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 71

Siri 71: LOCKDOWN @ BRUNEI

Kita sudah mendengar cerita ‘Lockdown’ di Makkah (Siri 44) dan Seattle (Siri 47). Kali ini kami paparkan kisah di Brunei yang dikongsi oleh Yang Di-Pertua Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (Breast Cancer Support Group. Brunei Darussalam)
Mereka turut terkesan dengan pandemik Covid-19. Tidak dapat melakukan aktiviti seperti kebiasaannya. Walaubagaimanapun, sokongan kepada pesakit tetap diteruskan. Mereka berhubung dengan pesakit melalui telefon dan WhatsApp. Antara soalan yang sering diajukan oleh pesakit ialah tentang pemakanan.
Selain sokongan kepada pesakit, antara aktiviti meraka adalah; (i) membantu barisan hadapan Covid-19, (ii) memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim yang kehilangan ibu/bapa kerana kanser, (iii) mengadakan Tadarus Al-Quran dalam bulan Ramadhan, dan (iv) mengadakan ‘Program Nyah Covid-19’. Program ini ialah membaca dan khatam Al-Quran setiap minggu, diniatkan untuk memohon perlindungan Allah daripada jangkitan serta merebaknya Covid-19 dan kesembuhan semua pesakit Covid-19. Ianya masih diteruskan sehingga sekarang dengan kerjasama Kumpulan Muslimah Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam. Kumpulan sokongan ini turut dilibatkan dalam acara Larian sempena sambutan ‘World Cancer Day’ pada 10 April yang lalu.
Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei tetap memberi sokongan kepada pesakit walaupun pelbagai kekangan. Semoga Allah permudahkan dan berkati usaha mereka membantu yang memerlukan.

Friday, 21 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 70

SIRI 70: IBUKU
‘Mak’, panggilan kami empat beradik kepada beliau (Hajjah Zubaidah Mohd. Hassan), yang telah pulang ke Rahmatullah pada 9 Mei 2004. Enam belas tahun berlalu. Mak pergi lima hari selepas ulang tahun ke-70. Penderitaannya kerana kanser pankreas telah berakhir kurang daripada lima bulan selepas dikesan.
Hajat mengerjakan ibadah Haji buat kali kedua untuk menemani saya tidak tertunai. Sebaliknya Mak berada di hospital dalam tempoh 28 hari saya di Tanah Suci.
Semasa saya pulang, Mak berehat di rumah. Selepas itu, Mak terpaksa dimasukkan semula ke hospital. Kami bergili-gilir menemaninya. Penghujung April, doktor menasihatkan supaya membawa Mak pulang ke rumah. Kebetulan, memang Mak hendak pulang, tidak mahu lagi tinggal di hospital.
Tiada lagi rawatan atau ubat. Allahu Akbar! Hanya morfin untuk mengawal kesakitannya. Allah sahaja yang tahu betapa peritnya. Dalam hening malam, lebih kurang jam dua pagi, Mak pergi menghadap Illahi di sisi adik lelakinya dan saya, anak sulungnya.
Kebiasaannya saya dan adik bongsu akan pulang ke Pulau Pinang untuk menyambut hari raya dan menziarahi pusara Mak yang bersebelahan dengan pusara bapa di tapak khusus untuk ahli keluarga kami. Ziarah kami tertunda disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan. Doa untuk Mak tidak pernah putus walau di mana sahaja kami berada.
Nukilan puisi khas untuk ‘Mak’ oleh adik saya.
My Mother
When night and morning merge
All of sixteen years ago
An orphan I became
No father, no more mother.

Even though your passing was expected
Emptiness was quite unexpected
Oh, my mother, I am sad but I accept
An end to your worldly suffering.

Forgive me my beloved mother
For I am not the perfect child
My sacrifices should have been endless
Words of love I rarely uttered.

I remember
A mother
A grandmother
A loving teacher
Nurturing and helping, always.

My mother, I pray
That you are blessed, resting in eternal peace.

Zulkarnain Harun
Dawn, 9 May 2020

Hasmah Harun
Penyokong/Sukarelawan KanWork