Sunday 30 August 2020

KanWork Stay @ Home: CERITA KAMI - Siri 74

Siri 74 : TABUNG MINI BERODA KanWork
Anda pernah dengar tentang Tabung Mini Beroda (TMB)? TMB merupakan sebuah tabung yang menjadi medium kepada program wakaf, infaq atau kempen mencari dana. TMB salah satu produk syarikat saya iaitu Muhibbah Sinergia Resources (MSR) yang fokus terhadap penghasilan produk inovasi berasaskan Sunnah dan Islamik. Ada dua jenis TMB iaitu biasa dan premium (haruman attar pada setiap menara).
Kerjasama MSR dan KanWork tercetus dari sembang bersama Dr. Othman Omar yang ketika itu ialah Pengarah, Bahagian Inovasi, Yayasan Inovasi Malaysia dan juga salah seorang Pengasas KanWork. Beliau bertanya kesesuaian digabungkan TMB dengan KanWork. Bermula dari situ, tercetus idea program TMB ini bergerak khusus untuk Kanwork melalui masjid di seluruh Selangor sejak 2015. TMB KanWork bermula dengan 35 buah tabung (tetap/pusingan) di sembilan masjid/premis.
Sehingga kini, secara keseluruhan KanWork mempunyai 60 buah tabung tetapi hanya 37 sahaja yang aktif beroperasi di 11 masjid/premis. TMB KanWork memudahkan orang ramai untuk menderma dan menjadi medium publisiti untuk KanWork.
Projek TMB KanWork terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Kutipan tidak dapat dijalankan disebabkan masjid serta premis perniagaan tidak beroperasi seperti biasa dalam tempoh itu. Di masjid, keperluan utama tabung ini adalah ketika Solat Jumaat dan ceramah agama yang mana ramai jemaah akan hadir.
Alhamdulillah, kini masjid dan premis perniagaan telah mula beroperasi dengan ‘SOP’. Insyaallah tabung ini akan bergerak semula. Semoga kerjasama MSR – KanWork akan terus kukuh. Terima kasih kepada anda semua yang pernah menghulurkan sumbangan melalui TMB ini.
Tuan Haji Noor Arjuna Abdul Ghani
Pengasas & Pencipta Tabung Mini Beroda D Masjid
Muhibbah Sinergia Resources





No comments:

Post a Comment