Siri 67: HIKMAH HAJI COVID-19 YANG TERTANGGUH
Tawaran mengerjakan haji tahun 2018 terpaksa ditolak kerana sedang menjalani rawatan kemoterapi. Awal tahun ini saya dan suami sekali lagi ditawarkan mengerjakan haji tahun 2020. Subhanallah! Gembiranya tidak terkata. Kesedihan tidak dapat mengerjakan haji tahun 2018 terubat jua. Kami terus menerima tawaran dan mula memilih pakej haji yang sesuai dengan kondisi saya. Sudah terbayang-bayang suasana haji nanti. Pemeriksaan kesihatan bagi bakal jemaah haji dilakukan beberapa hari sebelum PKP dilaksanakan. Saya perlu menjalani pemeriksaan ulangan selepas mendapat kebenaran dari doktor pakar yang merawat penyakit saya ini.
Ketika doktor mengesahkan saya perlu menjalani semula rawatan kemoterapi kerana kanser berulang, hati telah mula menangis kerana tahu saya tidak akan diluluskan untuk mengerjakan haji kerana sedang menjalani kemoterapi. Allahu Akbar! Kemudiannya keadaan dunia menjadi semakin parah dengan wabak Covid-19 sehingga memaksa Malaysia menangguhkan haji pada tahun ini kepada tahun hadapan. Situasi ini begitu menyedihkan kepada semua umat Islam terutama bakal-bakal haji.
Namun disebalik semua ini terselit hikmah yang tersembunyi! Saya mempunyai peluang yang besar untuk mengerjakan haji pada tahun hadapan dan dapat memberi fokus kepada rawatan kemoterapi yang sedang dilalui. Saya sangat yakin semua yang terjadi adalah atas izinNya dan perancangan Allah adalah yang terbaik untuk kami suami isteri kerana Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Dr. Suhaina Musani
Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan/
Ahli KanWork
No comments:
Post a Comment