Saya disahkan kanser payudara (Tahap 2) pada 3 Januari 2003, menjalani kemoterapi (6 pusingan), radioterapi (35 pusingan) dan mengambil ‘Temoxifen’ selama 5 tahun. Ketika itu, informasi mengenai kanser memang sangat kurang. Saya tidak pernah ‘surf’ internet, hanya mendengar nasihat doktor. Saya sertai KanWork pada 2003 dan juga persatuan lain seperti PINK UNITY, Breast Cancer Foundation, UMMC Exercise Support Group - ESG, UMMC Candy Girls Support Group dan Yayasan Budi Penyayang Malaysia.
Alhamdulillah hampir 18 tahun sebagai survivor. Saya sangat aktif dalam aktiviti pendakian gunung dan terpaksa berhenti seketika. Namun saya tidak duduk diam, hari kedua selepas kemoterapi, saya berlari keliling padang (10 pusingan) pagi dan petang di hadapan rumah kakak saya di Setapak. Itulah rutin saya sehingga tamat rawatan. Jika rawatan radioterapi, saya akan berlari di sebelah petang. Ketika disahkan kanser payudara, saya masih belum berumahtangga. Oleh itu saya ulang alik bersendirian ke Hospital Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur untuk membuat rawatan. Setiap Sabtu, saya akan pulang ke rumah saya di Kajang dan balik semula ke Setapak keesokannya.
Saya aktif beriadah seperti mendaki gunung/bukit, senamrobik/zumba, larian, mendaki tangga serta ‘brist walking’ di taman/tasik. Saya suka ‘exercise’ kerana ia menyihatkan badan, memberi kekuatan, berfikiran positif dan mendapat rakan baru (survivor/bukan survivor). Antara tempat riadah seperti gunung/bukit di dalam dan luar negara, serta tasik dan taman di sekitar Lembah Klang.
Antara pencapaian saya ialah; (i) mendaki gunung luar negara seperti Gunung Rinjani, Indonesia (2016), Gunung Kinabalu (2017 dan 2019), Annapurna Base Camp, Nepal (2018), Gunung Kerinchi, Indonesi (2019), (ii) mendaki gunung/bukit di Malaysia, (iii) pertandingan larian serta (iv) mendaki tangga bangunan iaitu Towerthon Challenges 2019 (43 tingkat) dan Penang Top International Tower Run 2019 (69 tingkat).
Hidup perlu diteruskan. ‘Think positive’! Teruskan aktiviti yang pernah kita lakukan sebelum ini. Jangan fikir kematian kerana ajal itu tidak mengenal apa pun penyakitnya. Semoga Covid-19 segera berakhir, saya tidak sabar hendak mendaki lagi!
Rozila Abd. Samat
Ahli Seumur Hidup KanWork
No comments:
Post a Comment