Monday, 17 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 68


SIRI 68: ‘ACUTE MYELOID LEUKEMIA’… KISAH KEMOTERAPI SAYA
Saya menjalani pembedahan payudara sebelah kiri pada Januari 2005 dan pembedahan kanser payudara sebelah kanan pada Januari 2017. 21 Januari 2020, saya didiagnos Leukemia selepas pengesahan melalui ‘bone marrow procedure’. Saya perlu membuat empat (4) pusingan kemoterapi dan terus membuat pusingan pertama keesokan harinya.
Saya diberi ubat kemoterapi selama 7 hari (jarak 12 jam untuk setiap ubat) untuk pusingan pertama. Saya tidak mengalami sebarang alahan semasa proses memasukkan ubat. Hanya demam untuk sehari. Selesai 7 hari, saya tidak dibenarkan pulang kerana perlu pemantauan doktor. Ini kerana darah saya sudah mula menurun hingga kosong selepas 14 hari. Setelah hari ke-22, saya dibenarkan pulang setelah bacaan darah kembali naik. Semasa di wad, rambut mula gugur apabila saya menyikat rambut. Lama-lama jadi botak!
Saya perlu membuat ‘bone marrow procedure’ untuk menentukan tindakbalas ubat kemoterapi kepada badan saya. Amat perit! Kikis tulang pinggul. Namun begitu, ianya berkurangan dengan diberikan ubat bius. Saya perlu tinggal di wad sekurang-kurangnya dua minggu setiap kali kemoterapi!
Kesan sampingan rawatan kali ini tidak banyak berbanding kemoterapi kanser payudara dahulu. Selain rambut gugur, saya tidak boleh berjalan atau berdiri lama, rasa lenguh, penat dan nafas juga agak semput. Selera makan seperti biasa dan boleh juga makan makanan pedas, alhamdulilah. Saya mendapat ulser di mulut semasa pusingan kemoterapi kedua. Kemoterapi ketiga saya ok! Kemoterapi keempat demam dua hari. Selepas itu saya dijangkiti kayap pula! Seksa rasanya. Hampir dua minggu di hospital sebelum dibenarkan pulang setelah kayap kering.
Untuk rawatan selanjutnya (dan akhir), saya masih menunggu panggilan pihak hospital untuk buat ‘transplant’ darah (ambil darah dik-beradik). Saya tidak sabar untuk menamatkan rawatan dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Kadangkala emosi agak terganggu. Biasanya, saya akan keluar ke ‘mall’ atau ke mana-mana untuk hilangkan perasaan ini. Oleh kerana pandemik, saya menghabiskan masa di rumah dengan membaca Al-Quran dan mendengar ceramah agama secara online. Doakan saya!
Maznah Meor Razali
Ahli Seumur Hidup KanWork

No comments:

Post a Comment