SIRI 65: KELAS KEMBALI
Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar merupakan institusi rakan kongsi KanWork. Kelas Tadabur Ustaz Kariman adalah satu kelas agama yang saya gemari. Jarang ‘miss’! Beberapa ahli KanWork juga mengikuti kelas ini.
Semenjak 10 Mac, kelas terpaksa dibatalkan kerana wabak Covid-19. Sebagai seorang pelajar dewasa yang ingin menambah ilmu, saya bersyukur dan gembira apabila kelas bermula semula pada 4 Ogos.
Mengikut Hajah Rohana, pihak masjid telah mengambil tindakan mematuhi SOP; “Garis panduan telah diberi seperti dalam gambar. Kami menyusun atur kedudukan kerusi /meja, laluan keluar masuk, pengunaan tempat solat dan sebagainya seperti yang diperlukan”. Kelas ini juga boleh diikuti atas talian.
Kebanyakan pelajar datang awal dan mematuhi SOP. Pengerusi PERWIBA dalam kata aluannya memanjat kesyukuran kerana kelas dapat diteruskan kembali.
Kelas dimulakan dengan doa oleh Ustaz:
- Semoga semua dalam perlindungan Allah dan kelas dapat diteruskan seperti biasa.
- Covid-19 adalah ujian daripada Allah. Semoga tidak menjadi penghalang kepada pembelajaran. Nikmat sihat dan kelapangan adalah besar kepada sesiapa yang dilanda musibah.
Peserta memberi maklumbalas positif tentang kelas:
- Alhamdulillah. Saya rasa bersyukur kerana kelas kita dapat diteruskan dan semua kawan sihat. Tuhan masih beri peluang, keupayaan dan kehendak untuk terus melakukan amalan akhirat. (Puan A)
- Alhamdulillah. Allah panjangkan umur kita. Dapat hadir majlis ilmu ini lagi. (Puan R)
- Alhamdulillah. Gembira dapat hadir. Dah rindu! (Puan H)
- Alhamdulilah dapat kembali belajar dengan selamat, InsyaAllah, bersama kawan-kawan. (Puan M)
Pihak penganjur berpuas hati dengan sambutan kelas; “Dalam situasi sekarang, rasanya ramai yang masih risau untuk keluar jika tiada keperluan. Tapi saya bersyukur dengan kedatangan semalam, buat hari pertama”. (Hajah Rohana). Beliau yakin kelas ini akan mendapat sambutan seperti biasa; “InsyaAllah minggu depan harap akan bertambah. Memenuhi dewan seperti sediakala.”
Terima kasih kepada penganjur, ustaz dan semua yang terlibat menjayakan kelas. Semoga diberkati dan diredhai Allah.
Maznah Muhamad
Ahli KanWork
5 Ogos 2020
No comments:
Post a Comment