Siri 66: HAJI YANG TERTANGGUH
Syukur Alhamdulillah, saya telah mendapat panggilan haji sekali lagi untuk tahun ini. Saya tetap teruja walaupun ini akan menjadi pengalaman haji yang ke tiga. Terbayang Kaabah di depan mata. Terngiang-ngiang lafaz talbiah. Syahdu! Kali ini dapat pergi bersama emak bapak dan ahli keluarga yang lain seramai 6 orang. Oleh kerana saya dalam kategori warga emas, tenaga semakin berkurangan, jadi memang perlu adik saya pergi bersama. Kali terakhir saya mengerjakan haji pada 2007, berumur 47 tahun, masih kuat lagi ketika itu.
Ini semua perancangan dan harapan. Dunia dilanda pandemik Covid-19, tiada siapa sangka ibadah haji juga turut terkesan. Pada 11 Jun lalu, Kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa penghantaran jemaah haji tahun ini ditangguhkan ke tahun 2021. Subhanallah! Allahu Akbar!
Di sudut hati rasa terkilan tatkala mendapat perkhabaran ini. Tetapi bila mengenangkan Covid-19 dan umur emak bapak yang termasuk dalam golongan berisiko tinggi, saya redha! Kita merancang, tetapi perancangan Allah SWT adalahyang terbaik!
Ada hikmah di sebalik semua ini. Kami boleh buat lebih persediaan mental dan spiritual yang mantap. Terus berdoa semoga Covid-19 akan reda bagi semua negara di dunia, bila sampai musim Haji 2021. Insya Allah. Alhamdulillah, dapat meraikan Aidiladha baru-baru ini bersama keluarga besar di sini.
Saya juga berharap kursus haji yang kami lalui akan diteruskan hingga ke Kursus Mega. Di situ nanti akan diberi sedikit pengalaman praktikal mengerjakan ibadah haji. Insya Allah. Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita perolehi hari ini. Janji Allah itu pasti. Insya Allah rezeki untuk ke Tanah Haram akan diizikanNya nanti.
Hajah Zuraidah Ridzwan
Ahli KanWork
No comments:
Post a Comment