Monday, 15 June 2020

KanWork Stay @Home: Cerita Kami - Siri 43

Siri 43: Sistem Imun Badan @Covid-19
Pesakit/pemandiri kanser antara kumpulan yang berisiko dengan Covid-19 kerana mempunyai imun tubuh yang rendah. Mereka perlu sistem imun tubuh yang bagus untuk mengelakkan jangkitan, kekalkan kesihatan dan kualiti hidup yang lebih baik.
Buat masa ini tiada ubat untuk Covid-19. Oleh itu pesakit/pemandiri kanser perlu mengamalkan perkara berikut untuk kekalkan kesihatan:
1. Memakai topeng apabila berada di luar.
2. Kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan hand sanitizer.
3. Pastikan jarak 1-meter dengan orang lain.
4. Minum air secukupnya bagi mengekalkan hidrasi tubuh. Tubuh menggunakan air untuk mengekalkan suhu badan dan organ berfungsi dengan baik. Ia juga untuk mengelakkan daripada jangkitan, mengangkut nutrien ke sel dan sebagai pelincir bagi sendi.
5. Makan makanan seimbang (karbohidrat, protein, lemak dan serat) mengikut sukatan yang disarankan. Kesemua nutrien ini mempunyai fungsi yang berbeza dalam menentukan perjalanan tubuh.
6. Sayur-sayuran dan buah-buahan perlu diberikan lebih tumpuan kerana ia sumber vitamin, mineral serta antioksidan. Boleh diambil lebih sedikit tetapi tidak boleh menggantikan antara satu satu sama lain kerana mineral, antioksidan dan serat yang berbeza.
7. Pesakit yang masih dalam rawatan perlulah mengamalkan diet rendah bakteria (dimasak sepenuhnya). Duduk di rumah dan keluar bila perlu. Elak berada di tempat umum, elak membeli makanan buffet (terdedah) dan tidak berkongsi makanan dan minuman.
8. Bagi pesakit yang selesai rawatan (6 bulan hingga 1 tahun) perlu meneruskan pengambilan diet rendah bakteria kerana imun tubuh masih lemah.

Apakah makanan yang bagus dalam situasi sekarang? Banyak nasihat dalam WhatsApp dan Facebook. Sangat mengelirukan!
Umumnya tiada makanan khusus dapat meningkatkan imun tubuh tetapi diet yang kaya dengan pelbagai jenis sayuran (berwarna merah, jingga, kuning, putih, coklat, hijau, biru & ungu) dan buah-buahan adalah bermanfaat. Tiada ‘super food’ seperti kerap di dakwa oleh beberapa pihak berkepentingan.

Ambil sayur dan buah mengikut sukatan yang disarankan walaupun ia mempunyai antioksidan yang hebat. Makanan yang bagus tidak semestinya boleh diambil dalam kuantiti yang banyak. Sebagai contoh pengambilan karot yang berlebihan akan membuatkan tubuh berwarna kuning.
Kita perlu sentiasa proaktif memantau status kesihatan kita dan menjaga pemakanan. Amalkan seperti yang disarankan oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidangnya.
Bersabar dan cekalkan hati sepanjang PKPP ini.
Dr. Suhaina S
Dietitian

Sila rujuk pautan berikut untuk maklumat berkaitan. Semoga bermanfaat!

No comments:

Post a Comment