Tuesday, 16 June 2020

KanWork Stay @Home: Cerita Kami - Siri 44

Siri 44: LOCKDOWN @ MAKKAH
Kota Mekah, salah satu antara dua kota suci dalam Islam juga dilanda pandemik COVID-19. Bermula 26 Mac 2020, Kerajaan Saudi telah mengenakan perintah berkurung bermula 7.00 malam hingga 6.00 pagi secara berperingkat kepada penduduk Mekah.

Penduduk hanya dibenarkan keluar untuk mendapatkan barangan keperluan dan ubat-ubatan dari kedai runcit serta farmasi yang berdekatan. Sehingga sekarang, perintah berkurung ini dilanjutkan dari 3.00 petang hingga 6.00 pagi.
Hukuman yang agak berat dikenakan iaitu denda sebanyak 10,000 Riyal jika sabit kesalahan untuk penduduk yang ingkar arahan kerajaan.
Kerajaan Arab Saudi telah menyekat kemasukan jemaah umrah bermula 27 Februari 2020. Di ikuti dengan penutupan sekolah dan universiti pada 8 Mac 2020. Lain-lain tempat yang ditutup adalah pejabat kerajaan, tempat awam, taman permainan kanak-kanak, dewan masjid dan pusat beli belah. Semua masjid juga ditutup kecuali Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang mana solat hanya dibenarkan kepada para imam, bilal dan petugas masjid sahaja. Semua penerbangan antarabangsa juga disekat.
Apabila kes pertama dilaporkan 3 Mac 2020, jangkitan semakin meningkat. Oleh itu, kerajaan bertindak untuk membuat 'mass test' di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang agak tinggi dan perumahan kos rendah.

Pada bulan Ramadan yang lepas, waktu perintah berkurung ditukar dari jam 5.00 petang sehingga 9.00 pagi. Menjelang Syawal ianya diperketatkan lagi bagi menyekat sebarang aktiviti (berkumpul beramai-ramai). Solat sunat Aidilfiti dijalankan di rumah masing masing.
Keluarga Malaysia seperti saya dan isteri yang berada di Mekah hanya dapat bertukar-tukar juadah sahaja pada Syawal kali ini. Kami tidak dapat ziarah hari raya seperti kelazimannya.
Kota Mekah masih lagi berada di bawah perintah berkurung sehingga 21 Jun 2020 bila mana semua dijangka akan kembali kepada kehidupan normal kecuali sekatan umrah.
Sehingga kini Kerajaan Arab Saudi masih belum memberi kata putus mengenai pelaksanaan ibadah Haji 2020. Walaubagaimana pun, Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan tidak akan menghantar jemaah untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.
Hj. Hasnan Hassan @Makkah
Penyokong / Sukarelawan KanWork
12 Jun 2020

No comments:

Post a Comment