Islam telah mendidik kita agar menyedari dan insaf bahawa setiap insan yang hidup di muka bumi fana ini adalah khalifah (pengurus). Ianya dilantik oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia selaras dengan kehendak syariah Islam yang bersifat universal. Segala yang wujud di dunia ini adalah hak milikNya termasuk anak-anak. Justeru itu sebagai seorang Muslim yang percaya wujudnya alam akhirat maka anak-anak ini perlu dijaga dengan penuh amanah kerana kelak kita sebagai pengurus akan dipersoalkan olehNya.
Bermula dengan PKP, PKPB dan kini PKPP, pandemik Covid-19 telah mengubah tatacara hidup kami sekeluarga. Sebelum ini tugas memasak hanyalah saya seorang tetapi dengan konsep ‘work from home’ dan sesi pembelajaran sekolah secara online, anak-anak kami mula membantu di rumah. Bermula dengan proses memasak, pelbagai aneka lauk kesukaan mereka seperti siakap tiga rasa, ayam masak merah, spaghetti carbonara, kari ketam, mee goreng udang dan beberapa lagi menu. Selain itu anak-anak juga di disiplinkan dengan membasuh baju, basuh pinggan mangkuk, kemas rumah di samping tugasan hakiki iaitu menjaga ibu yang sedang melawan kanser.
Dalam tempoh perintah kawalan ini, saya tidak pernah culas untuk membawa isteri ke hospital. Anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah sehinga waktu petang baru kami pulang. Hanya Allah tempat kami berserah. Kadang-kadang saya tidak sempat menyediakan makanan tengah hari, isteri akan membeli makanan kesukaan mereka iaitu KFC dan Subway sewaktu pulang dari hospital. Isteri saya melakukan perkara ini demi memastikan anak-anaknya sentiasa bahagia dan ceria serta berdikari walaupun ibu mereka sedang menjalani rawatan kanser (masuk tahun ke empat rawatan).
Kini anak-anak lelaki kami semakin matang dan faham tentang kehidupan sebuah keluarga pesakit kanser. Anak-anak kami banyak berkorban kasih sayang, masa, pendidikan, masa lapang dan pelbagai lagi semenjak isteri saya disahkan sakit kanser. Sesungguhnya sakit itu ujian dan sabar itu adalah nikmat.
Dr. Mohd Faisol Ibrahim
Pensyarah USIM/Ahli Kanwork
No comments:
Post a Comment