Siri 24: Penjaga Pesakit Kanser
Seseorang yang dijangkiti penyakit kanser bukan kehendak mereka. Sebaliknya ia satu ketentuan Allah SWT yang memilih mereka untuk diuji keimanan terhadap nikmat dunia yang sementara dan kesabaran serta redha.
Pesakit kanser sering terganggu emosi disebabkan perubahan fizikal dan gaya hidup serta pandangan masyarakat terhadap mereka. Oleh itu mereka sangat memerlukan sokongan kuat daripada orang sekeliling. Sebagai penjaga pesakit kanser, kita perlu bersabar dan berfikiran positif serta tenang dan bijak untuk mengurus pesakit.
Musim PKP menyebabkan pergerakan menjadi terbatas. Sebagai penjaga pesakit kanser, saya perlu kreatif mengisi masa isteri. Saya mengajaknya memperkemaskan halaman rumah disamping menaikkan akar beberapa pokok bonsai bunga kemboja agar kelihatan cantik. Kami juga bercucuk tanam sayur-sayuran seperti sawi, ulam cekur, ulam raja dan sebagainya.
Kami lebih banyak masa bersama di Ramadan musim PKP ini. Rutin pagi sibuk dengan menyediakan juadah bersahur. Diwaktu petang saya dan anak-anak akan bergotong-royong memasak untuk juadah berbuka puasa pula dengan tunjuk ajar isteri. Ini amat membantu beliau untuk melupakan seketika kesakitannya. Demi merebut pahala berganda di bulan Ramadan, isteri mengambil peluang bersedekah terutama untuk juadah berbuka. Waktu malam dihabiskan dengan solat Maghrib, Isyak dan Terawih berjemaah. Tugas saya sebagai imam manakala isteri akan memberikan komen dan nasihat kepada saya dan anak-anak selesai solat.
Sebagai penjaga pesakit kanser, kita perlu sabar dan memberi sokongan 100% kepada mereka tanpa rasa jemu. Sesungguhnya Allah SWT sangat suka kepada orang yang sabar dan bersyukur.
Dr. Mohd Faisol Ibrahim
Pensyarah Kanan USIM / Ahli KanWork
#######################
Anda boleh mendapatkan “Buku Panduan untuk Penjaga Pesakit Kanser” terbitan KanWork (2019) dengan menghubungi 1 800 22 8672/6013 5938627.
Baca selanjutnya di FB: kanwork.official
Jom BERINFAK di RAMADAN yang mulia ini!
Sila layari : https://www.donate.kanwork.org
atau
8601945901
Persatuan Kanser Network Selangor & Wilayah Persekutuan
No comments:
Post a Comment