Sunday, 30 August 2020

KanWork Stay @ Home: CERITA KAMI - Siri 74

Siri 74 : TABUNG MINI BERODA KanWork
Anda pernah dengar tentang Tabung Mini Beroda (TMB)? TMB merupakan sebuah tabung yang menjadi medium kepada program wakaf, infaq atau kempen mencari dana. TMB salah satu produk syarikat saya iaitu Muhibbah Sinergia Resources (MSR) yang fokus terhadap penghasilan produk inovasi berasaskan Sunnah dan Islamik. Ada dua jenis TMB iaitu biasa dan premium (haruman attar pada setiap menara).
Kerjasama MSR dan KanWork tercetus dari sembang bersama Dr. Othman Omar yang ketika itu ialah Pengarah, Bahagian Inovasi, Yayasan Inovasi Malaysia dan juga salah seorang Pengasas KanWork. Beliau bertanya kesesuaian digabungkan TMB dengan KanWork. Bermula dari situ, tercetus idea program TMB ini bergerak khusus untuk Kanwork melalui masjid di seluruh Selangor sejak 2015. TMB KanWork bermula dengan 35 buah tabung (tetap/pusingan) di sembilan masjid/premis.
Sehingga kini, secara keseluruhan KanWork mempunyai 60 buah tabung tetapi hanya 37 sahaja yang aktif beroperasi di 11 masjid/premis. TMB KanWork memudahkan orang ramai untuk menderma dan menjadi medium publisiti untuk KanWork.
Projek TMB KanWork terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Kutipan tidak dapat dijalankan disebabkan masjid serta premis perniagaan tidak beroperasi seperti biasa dalam tempoh itu. Di masjid, keperluan utama tabung ini adalah ketika Solat Jumaat dan ceramah agama yang mana ramai jemaah akan hadir.
Alhamdulillah, kini masjid dan premis perniagaan telah mula beroperasi dengan ‘SOP’. Insyaallah tabung ini akan bergerak semula. Semoga kerjasama MSR – KanWork akan terus kukuh. Terima kasih kepada anda semua yang pernah menghulurkan sumbangan melalui TMB ini.
Tuan Haji Noor Arjuna Abdul Ghani
Pengasas & Pencipta Tabung Mini Beroda D Masjid
Muhibbah Sinergia Resources





Friday, 28 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 73

SIRI 73: JALAN-JALAN MASUK KAMPUNG
April 2012, bermula kehidupan saya sebagai pesara selepas 30 tahun dalam perkhidmatan awam. Selesai urusan persaraan di Kuala Lumpur, saya balik ke Kelantan untuk bermastautin.
Suasana di kampung sangat santai. Bergaul dengan masyarakat kampung, berjemaah di masjid, menghadiri kelas mengaji, tetapi masih banyak masa yang terluang. Teringat pertanyaan rakan tentang ‘plan’ selepas bersara, ‘I want to give back to my people!’
Saya ‘search’ aktiviti sukarelawan sekitar Kelantan melalui Facebook. Terjumpa ‘Wargakilang’ (mengenalpasti dan membantu orang miskin tegar di pedalaman). Saya ‘start’ ikut dan memberi sumbangan. Kemudian ‘share’ aktiviti dalam Facebook, selepas itu ramai kawan turut menyumbang.
Dalam kepesatan pembangunan, ada yang dhaif, kais pagi makan petang. Ikat perut dan makan berlaukkan budu sahaja. Kami beri sumbangan bahan makanan. Mereka terharu, berlinangan air mata. Anak-anak ceria ketika diberikan ‘jajan’. Ianya menguatkan lagi semangat kami!
Pengalaman sedih sewaktu banjir besar di Kelantan pada penghujung 2014. Saya belum ada ‘4-wheel drive’ dan hanya ada sedikit dana. Terpaksa pinjam kenderaan
kawan untuk hantar bantuan. NGO lain turut memberi bantuan tetapi hanya dikumpulkan di kawasan yang sama. Bantuan tidak sampai ke pedalaman. Ada yang sehelai sepinggang apabila rumah roboh serta dihanyutkan air.

Sewaktu PKP, beberapa keluarga di kampung terputus bekalan makanan. Mereka bekerja menoreh getah, tukang rumah (upahan secara harian). Kami terus bertindak!
Tempah ‘groceries’ di kedai runcit berdekatan, ‘packing’ dan terus hantar disebabkan pergerakan terhad. Tiada aktivis berkumpul. Saya menerima sumbangan melebihi RM20,000.000 sepanjang PKP.

Selain bantuan ‘one-off’, kami ada ‘follow up action’. Mencari dana untuk baiki rumah yang sangat dhaif. Jika tiada peralatan asas seperti mesin basuh, dapur gas, kami
cuba sediakan. Bantuan persekolah diberikan seperti bayaran yuran peperiksaan, wang saku bulanan dan persediaan ke universiti.

Semoga kami terus diberi kesihatan dan kelapangan untuk terus istiqamah menyantuni yang memerlukan. Terima kasih semua sahabat yang menyalurkan dana untuk para dhuafa dan asnaf.
Wan Normah Wan Ismail
Sukarelawan KanWork



Wednesday, 26 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 72

SIRI 72: UBAT-UBATAN DAN PKP
Dalam proses mendapatkan rawatan perubatan di hospital/fasiliti kesihatan, selain temujanji dengan doktor dan melakukan ujian makmal, ubat-ubatan merupakan komponen penting. Kalau tidak makan ubat, jumpalah dengan doktor terbaik pun, sudah tentu sukar hendak sembuh atau menghalang penyakit dari terus merebak (komplikasi).

Dalam situasi pandemik Covid-19, Program Perkhidmatan Farmasi (PPF), KKM sentiasa prihatin dan peka terhadap keperluan rakyat. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pesakit digalakkan untuk tinggal di rumah dan mengurangkan kekerapan ke hospital kecuali rawatan tertentu.
Beberapa inisiatif diusahakan bagi memastikan pesakit khususnya penyakit kronik seperti kanser tidak terputus bekalan ubat. Bekalan ubat susulan ditambah kepada dua bulan atau lebih (mengikut stok) dan temujanji dengan farmasi di panjangkan. Ia bertujuan mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi dan ruang menunggu di samping mematuhi SOP PKP semasa. Antara inisiatif yang disediakan;
a. Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP)
Ubat di pos ke rumah/tempat pilihan pesakit (pos laju). Kos bayaran antara RM5.30 hingga RM10.00, tetapi kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh PPF bagi tempoh 5 April – 30 Jun 2020. Mulai Julai 2020 kos dibayar sendiri oleh pesakit dengan kadar minima tersebut.
b. ‘Drive thru-pharmacy’
Pesakit /wakil perlu ‘set date’ sebelum mengambil ubat susulan secara ‘drive thru’ secara percuma di farmasi tempat menerima rawatan. Antara kelebihannya; ubat berbentuk cecair, insulin dan yang memerlukan simpanan
pada suhu tertentu dapat di bekalkan, seperti pelaksanaanya di Institut Kanser Negara dan Hospital Putrajaya.
c. Sistem Temujanji
Ada fasiliti menyediakan kaunter khas di perkarangan hospital. Pesakit/wakil perlu membuat temujanji melalui ‘sms’/emel/panggilan telefon.
d. Locker 4U/MediBox
Ubat (mengikut preskripsi pesakit) diletakkan dalam ‘locker’ di tempat yang strategik. Pesakit akan diberi kunci/'password’ dan boleh datang bila-bila masa.
Alhamdulillah, bekalan ubat sentiasa mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/PKPB/PKPP). Pesakit perlu mengambil ubat mengikut arahan dan hubungi Jabatan Farmasi jika ada masalah. Petugas farmasi boleh dihubungi melalui telefon untuk mendapatkan penerangan lanjut dan kaunseling ubat-ubatan.
Noraini Mohamad
Ketua Biro Pendidikan KanWork/
Timbalan Pengarah,
Lembaga Farmasi Malaysia

Sunday, 23 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 71

Siri 71: LOCKDOWN @ BRUNEI

Kita sudah mendengar cerita ‘Lockdown’ di Makkah (Siri 44) dan Seattle (Siri 47). Kali ini kami paparkan kisah di Brunei yang dikongsi oleh Yang Di-Pertua Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (Breast Cancer Support Group. Brunei Darussalam)
Mereka turut terkesan dengan pandemik Covid-19. Tidak dapat melakukan aktiviti seperti kebiasaannya. Walaubagaimanapun, sokongan kepada pesakit tetap diteruskan. Mereka berhubung dengan pesakit melalui telefon dan WhatsApp. Antara soalan yang sering diajukan oleh pesakit ialah tentang pemakanan.
Selain sokongan kepada pesakit, antara aktiviti meraka adalah; (i) membantu barisan hadapan Covid-19, (ii) memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim yang kehilangan ibu/bapa kerana kanser, (iii) mengadakan Tadarus Al-Quran dalam bulan Ramadhan, dan (iv) mengadakan ‘Program Nyah Covid-19’. Program ini ialah membaca dan khatam Al-Quran setiap minggu, diniatkan untuk memohon perlindungan Allah daripada jangkitan serta merebaknya Covid-19 dan kesembuhan semua pesakit Covid-19. Ianya masih diteruskan sehingga sekarang dengan kerjasama Kumpulan Muslimah Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam. Kumpulan sokongan ini turut dilibatkan dalam acara Larian sempena sambutan ‘World Cancer Day’ pada 10 April yang lalu.
Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei tetap memberi sokongan kepada pesakit walaupun pelbagai kekangan. Semoga Allah permudahkan dan berkati usaha mereka membantu yang memerlukan.

Friday, 21 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 70

SIRI 70: IBUKU
‘Mak’, panggilan kami empat beradik kepada beliau (Hajjah Zubaidah Mohd. Hassan), yang telah pulang ke Rahmatullah pada 9 Mei 2004. Enam belas tahun berlalu. Mak pergi lima hari selepas ulang tahun ke-70. Penderitaannya kerana kanser pankreas telah berakhir kurang daripada lima bulan selepas dikesan.
Hajat mengerjakan ibadah Haji buat kali kedua untuk menemani saya tidak tertunai. Sebaliknya Mak berada di hospital dalam tempoh 28 hari saya di Tanah Suci.
Semasa saya pulang, Mak berehat di rumah. Selepas itu, Mak terpaksa dimasukkan semula ke hospital. Kami bergili-gilir menemaninya. Penghujung April, doktor menasihatkan supaya membawa Mak pulang ke rumah. Kebetulan, memang Mak hendak pulang, tidak mahu lagi tinggal di hospital.
Tiada lagi rawatan atau ubat. Allahu Akbar! Hanya morfin untuk mengawal kesakitannya. Allah sahaja yang tahu betapa peritnya. Dalam hening malam, lebih kurang jam dua pagi, Mak pergi menghadap Illahi di sisi adik lelakinya dan saya, anak sulungnya.
Kebiasaannya saya dan adik bongsu akan pulang ke Pulau Pinang untuk menyambut hari raya dan menziarahi pusara Mak yang bersebelahan dengan pusara bapa di tapak khusus untuk ahli keluarga kami. Ziarah kami tertunda disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan. Doa untuk Mak tidak pernah putus walau di mana sahaja kami berada.
Nukilan puisi khas untuk ‘Mak’ oleh adik saya.
My Mother
When night and morning merge
All of sixteen years ago
An orphan I became
No father, no more mother.

Even though your passing was expected
Emptiness was quite unexpected
Oh, my mother, I am sad but I accept
An end to your worldly suffering.

Forgive me my beloved mother
For I am not the perfect child
My sacrifices should have been endless
Words of love I rarely uttered.

I remember
A mother
A grandmother
A loving teacher
Nurturing and helping, always.

My mother, I pray
That you are blessed, resting in eternal peace.

Zulkarnain Harun
Dawn, 9 May 2020

Hasmah Harun
Penyokong/Sukarelawan KanWork

Tuesday, 18 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 69

SIRI 69: SURVIVOR KEKAL AKTIF
Saya disahkan kanser payudara (Tahap 2) pada 3 Januari 2003, menjalani kemoterapi (6 pusingan), radioterapi (35 pusingan) dan mengambil ‘Temoxifen’ selama 5 tahun. Ketika itu, informasi mengenai kanser memang sangat kurang. Saya tidak pernah ‘surf’ internet, hanya mendengar nasihat doktor. Saya sertai KanWork pada 2003 dan juga persatuan lain seperti PINK UNITYBreast Cancer FoundationUMMC Exercise Support Group - ESGUMMC Candy Girls Support Group dan Yayasan Budi Penyayang Malaysia.
Alhamdulillah hampir 18 tahun sebagai survivor. Saya sangat aktif dalam aktiviti pendakian gunung dan terpaksa berhenti seketika. Namun saya tidak duduk diam, hari kedua selepas kemoterapi, saya berlari keliling padang (10 pusingan) pagi dan petang di hadapan rumah kakak saya di Setapak. Itulah rutin saya sehingga tamat rawatan. Jika rawatan radioterapi, saya akan berlari di sebelah petang. Ketika disahkan kanser payudara, saya masih belum berumahtangga. Oleh itu saya ulang alik bersendirian ke Hospital Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur untuk membuat rawatan. Setiap Sabtu, saya akan pulang ke rumah saya di Kajang dan balik semula ke Setapak keesokannya.
Saya aktif beriadah seperti mendaki gunung/bukit, senamrobik/zumba, larian, mendaki tangga serta ‘brist walking’ di taman/tasik. Saya suka ‘exercise’ kerana ia menyihatkan badan, memberi kekuatan, berfikiran positif dan mendapat rakan baru (survivor/bukan survivor). Antara tempat riadah seperti gunung/bukit di dalam dan luar negara, serta tasik dan taman di sekitar Lembah Klang.
Antara pencapaian saya ialah; (i) mendaki gunung luar negara seperti Gunung Rinjani, Indonesia (2016), Gunung Kinabalu (2017 dan 2019), Annapurna Base Camp, Nepal (2018), Gunung Kerinchi, Indonesi (2019), (ii) mendaki gunung/bukit di Malaysia, (iii) pertandingan larian serta (iv) mendaki tangga bangunan iaitu Towerthon Challenges 2019 (43 tingkat) dan Penang Top International Tower Run 2019 (69 tingkat).
Hidup perlu diteruskan. ‘Think positive’! Teruskan aktiviti yang pernah kita lakukan sebelum ini. Jangan fikir kematian kerana ajal itu tidak mengenal apa pun penyakitnya. Semoga Covid-19 segera berakhir, saya tidak sabar hendak mendaki lagi!
Rozila Abd. Samat
Ahli Seumur Hidup KanWork

Monday, 17 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 68


SIRI 68: ‘ACUTE MYELOID LEUKEMIA’… KISAH KEMOTERAPI SAYA
Saya menjalani pembedahan payudara sebelah kiri pada Januari 2005 dan pembedahan kanser payudara sebelah kanan pada Januari 2017. 21 Januari 2020, saya didiagnos Leukemia selepas pengesahan melalui ‘bone marrow procedure’. Saya perlu membuat empat (4) pusingan kemoterapi dan terus membuat pusingan pertama keesokan harinya.
Saya diberi ubat kemoterapi selama 7 hari (jarak 12 jam untuk setiap ubat) untuk pusingan pertama. Saya tidak mengalami sebarang alahan semasa proses memasukkan ubat. Hanya demam untuk sehari. Selesai 7 hari, saya tidak dibenarkan pulang kerana perlu pemantauan doktor. Ini kerana darah saya sudah mula menurun hingga kosong selepas 14 hari. Setelah hari ke-22, saya dibenarkan pulang setelah bacaan darah kembali naik. Semasa di wad, rambut mula gugur apabila saya menyikat rambut. Lama-lama jadi botak!
Saya perlu membuat ‘bone marrow procedure’ untuk menentukan tindakbalas ubat kemoterapi kepada badan saya. Amat perit! Kikis tulang pinggul. Namun begitu, ianya berkurangan dengan diberikan ubat bius. Saya perlu tinggal di wad sekurang-kurangnya dua minggu setiap kali kemoterapi!
Kesan sampingan rawatan kali ini tidak banyak berbanding kemoterapi kanser payudara dahulu. Selain rambut gugur, saya tidak boleh berjalan atau berdiri lama, rasa lenguh, penat dan nafas juga agak semput. Selera makan seperti biasa dan boleh juga makan makanan pedas, alhamdulilah. Saya mendapat ulser di mulut semasa pusingan kemoterapi kedua. Kemoterapi ketiga saya ok! Kemoterapi keempat demam dua hari. Selepas itu saya dijangkiti kayap pula! Seksa rasanya. Hampir dua minggu di hospital sebelum dibenarkan pulang setelah kayap kering.
Untuk rawatan selanjutnya (dan akhir), saya masih menunggu panggilan pihak hospital untuk buat ‘transplant’ darah (ambil darah dik-beradik). Saya tidak sabar untuk menamatkan rawatan dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Kadangkala emosi agak terganggu. Biasanya, saya akan keluar ke ‘mall’ atau ke mana-mana untuk hilangkan perasaan ini. Oleh kerana pandemik, saya menghabiskan masa di rumah dengan membaca Al-Quran dan mendengar ceramah agama secara online. Doakan saya!
Maznah Meor Razali
Ahli Seumur Hidup KanWork

Friday, 14 August 2020

Sembang KanWork Siri 1 : Rawatan Kanser



Seri Kembangan, 9 Ogos 2020: Persatuan Kanser KanWork telah menganjurkan program Sembang KanWork Siri 1 : Rawatan Kanser secara atas talian. Penceramah jemputan ialah Dr. Hafizah Zaharah Ahmad, Perunding Onkologi Klinikal, Sunway Medical Velocity Centre. Terima kasih kepada semua peserta yang menjayakan program ini.

Thursday, 13 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 67

Siri 67: HIKMAH HAJI COVID-19 YANG TERTANGGUH
Tawaran mengerjakan haji tahun 2018 terpaksa ditolak kerana sedang menjalani rawatan kemoterapi. Awal tahun ini saya dan suami sekali lagi ditawarkan mengerjakan haji tahun 2020. Subhanallah! Gembiranya tidak terkata. Kesedihan tidak dapat mengerjakan haji tahun 2018 terubat jua. Kami terus menerima tawaran dan mula memilih pakej haji yang sesuai dengan kondisi saya. Sudah terbayang-bayang suasana haji nanti. Pemeriksaan kesihatan bagi bakal jemaah haji dilakukan beberapa hari sebelum PKP dilaksanakan. Saya perlu menjalani pemeriksaan ulangan selepas mendapat kebenaran dari doktor pakar yang merawat penyakit saya ini.
Ketika doktor mengesahkan saya perlu menjalani semula rawatan kemoterapi kerana kanser berulang, hati telah mula menangis kerana tahu saya tidak akan diluluskan untuk mengerjakan haji kerana sedang menjalani kemoterapi. Allahu Akbar! Kemudiannya keadaan dunia menjadi semakin parah dengan wabak Covid-19 sehingga memaksa Malaysia menangguhkan haji pada tahun ini kepada tahun hadapan. Situasi ini begitu menyedihkan kepada semua umat Islam terutama bakal-bakal haji.
Namun disebalik semua ini terselit hikmah yang tersembunyi! Saya mempunyai peluang yang besar untuk mengerjakan haji pada tahun hadapan dan dapat memberi fokus kepada rawatan kemoterapi yang sedang dilalui. Saya sangat yakin semua yang terjadi adalah atas izinNya dan perancangan Allah adalah yang terbaik untuk kami suami isteri kerana Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Dr. Suhaina Musani
Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan/
Ahli KanWork

Wednesday, 12 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 66

Siri 66: HAJI YANG TERTANGGUH
Syukur Alhamdulillah, saya telah mendapat panggilan haji sekali lagi untuk tahun ini. Saya tetap teruja walaupun ini akan menjadi pengalaman haji yang ke tiga. Terbayang Kaabah di depan mata. Terngiang-ngiang lafaz talbiah. Syahdu! Kali ini dapat pergi bersama emak bapak dan ahli keluarga yang lain seramai 6 orang. Oleh kerana saya dalam kategori warga emas, tenaga semakin berkurangan, jadi memang perlu adik saya pergi bersama. Kali terakhir saya mengerjakan haji pada 2007, berumur 47 tahun, masih kuat lagi ketika itu.
Ini semua perancangan dan harapan. Dunia dilanda pandemik Covid-19, tiada siapa sangka ibadah haji juga turut terkesan. Pada 11 Jun lalu, Kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa penghantaran jemaah haji tahun ini ditangguhkan ke tahun 2021. Subhanallah! Allahu Akbar!
Di sudut hati rasa terkilan tatkala mendapat perkhabaran ini. Tetapi bila mengenangkan Covid-19 dan umur emak bapak yang termasuk dalam golongan berisiko tinggi, saya redha! Kita merancang, tetapi perancangan Allah SWT adalahyang terbaik!
Ada hikmah di sebalik semua ini. Kami boleh buat lebih persediaan mental dan spiritual yang mantap. Terus berdoa semoga Covid-19 akan reda bagi semua negara di dunia, bila sampai musim Haji 2021. Insya Allah. Alhamdulillah, dapat meraikan Aidiladha baru-baru ini bersama keluarga besar di sini.
Saya juga berharap kursus haji yang kami lalui akan diteruskan hingga ke Kursus Mega. Di situ nanti akan diberi sedikit pengalaman praktikal mengerjakan ibadah haji. Insya Allah. Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita perolehi hari ini. Janji Allah itu pasti. Insya Allah rezeki untuk ke Tanah Haram akan diizikanNya nanti.
Hajah Zuraidah Ridzwan
Ahli KanWork

Monday, 10 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 65

SIRI 65: KELAS KEMBALI
Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar merupakan institusi rakan kongsi KanWork. Kelas Tadabur Ustaz Kariman adalah satu kelas agama yang saya gemari. Jarang ‘miss’! Beberapa ahli KanWork juga mengikuti kelas ini.
Semenjak 10 Mac, kelas terpaksa dibatalkan kerana wabak Covid-19. Sebagai seorang pelajar dewasa yang ingin menambah ilmu, saya bersyukur dan gembira apabila kelas bermula semula pada 4 Ogos.
Mengikut Hajah Rohana, pihak masjid telah mengambil tindakan mematuhi SOP; “Garis panduan telah diberi seperti dalam gambar. Kami menyusun atur kedudukan kerusi /meja, laluan keluar masuk, pengunaan tempat solat dan sebagainya seperti yang diperlukan”. Kelas ini juga boleh diikuti atas talian.
Kebanyakan pelajar datang awal dan mematuhi SOP. Pengerusi PERWIBA dalam kata aluannya memanjat kesyukuran kerana kelas dapat diteruskan kembali.
Kelas dimulakan dengan doa oleh Ustaz:
- Semoga semua dalam perlindungan Allah dan kelas dapat diteruskan seperti biasa.
- Covid-19 adalah ujian daripada Allah. Semoga tidak menjadi penghalang kepada pembelajaran. Nikmat sihat dan kelapangan adalah besar kepada sesiapa yang dilanda musibah.
Peserta memberi maklumbalas positif tentang kelas:
- Alhamdulillah. Saya rasa bersyukur kerana kelas kita dapat diteruskan dan semua kawan sihat. Tuhan masih beri peluang, keupayaan dan kehendak untuk terus melakukan amalan akhirat. (Puan A)
- Alhamdulillah. Allah panjangkan umur kita. Dapat hadir majlis ilmu ini lagi. (Puan R)
- Alhamdulillah. Gembira dapat hadir. Dah rindu! (Puan H)
- Alhamdulilah dapat kembali belajar dengan selamat, InsyaAllah, bersama kawan-kawan. (Puan M)
Pihak penganjur berpuas hati dengan sambutan kelas; “Dalam situasi sekarang, rasanya ramai yang masih risau untuk keluar jika tiada keperluan. Tapi saya bersyukur dengan kedatangan semalam, buat hari pertama”. (Hajah Rohana). Beliau yakin kelas ini akan mendapat sambutan seperti biasa; “InsyaAllah minggu depan harap akan bertambah. Memenuhi dewan seperti sediakala.”
Terima kasih kepada penganjur, ustaz dan semua yang terlibat menjayakan kelas. Semoga diberkati dan diredhai Allah.
Maznah Muhamad
Ahli KanWork
5 Ogos 2020

Sunday, 9 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 64

Siri 64: KEMERIAHAN HARI RAYA AIDILADHA
Kita bersambung lagi kisah Aidiladha. Antaranya juadah raya, ibadah korban dan ‘moment’ bersama keluarga. Jom kita ikuti cerita mereka!
Pelbagai menu dihidangkan. Macam-macam ada!
“…ketupat, kuah kacang, rendang daging, roti jala, sekaya, kari kambing, nasi minyak dan paceri tomato”. (Puan Rogayah).
“Ada lontong daun pisang dengan kuah kacang, ketupat palas dengan rendang daging. (Puan Norliza).
Ada juadah yang di masak sendiri atau bersama ahli keluarga yang lain:
“…selepas berbuka dan solat serta takbir baru mula masak rendang dan ketupat palas. (Puan Haliza).
“Masak rendang daging dan ayam”. (Puan Maznah).
“Saya masak rendang Tok dan rendang ayam pencen”. (Puan Ain).
Puan Maznah dan Puan Jamaliah membuat nasi himpit sendiri. “First time buat, cantik jadinya”. (Puan Jamaliah). “…buat cara dulu, himpitkan dalam bekas & tindih dengan batu lesung”. (Puan Maznah).
“…adik-adik yang dapat balik awal tolong bakar lemang”. (Puan Laila).
Hari Raya Haji sinonim dengan ibadah korban samada di tempat sendiri atau di luar negara. Puan Halimaton membuat ibadah korban di pusat tahfiz. “…sebab PKP, ada polis pantau semasa korban”, jelas beliau. Puan Ain, Puan Rozila, Puan Maznah, Puan Norma dan Puan Laila menyertai ibadah korban di luar negara. “Kebetulan kat FB ada keluar pasal korban di South Africa, siap dapat resit pengecualian cukai”. (Puan Ain). “Alhamdulillah ibadah korban di Seam Reap tahun ini, diwakili saudara”. (Puan Norma).
Pada hari raya ini, beberapa ahli mengambil peluang menziarahi saudara mara dan bersiar-siar bersama keluarga. “Sempat ziarah kakak ipar dan hadir kenduri akikah rakan NGO”. (Puan Halimaton). Puan Rozila menziarahi ibu mertua dan adik beradik di Perak. Meriah! Puan Haliza membawa keluarga menyusuri Sungai Perak dengan ‘river cruise’. “…menikmati keindahan alam dan menyaksikan matahari terbenam”.
Alhamdulillah, berpeluang berkumpul bersama keluarga, menyantuni saudara mara dan mengerjakan ibadah korban. Semoga ukhwah keluarga terus berkekalan dan ibadah korban di terima Allah.

Saturday, 8 August 2020

KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 63


Siri 63: BALIK KAMPUNG HARI RAYA AIDILADHA
Alhamdulillah, Aidiladha tahun ini dapat diraikan bersama yang tersayang. Ada sedikit kelonggaran berbanding Aidilfitri PKP. Rentas negeri dibenarkan. Syukur! Dapat pulang ke kampung halaman.

Siri kali ini kami kongsikan pengalaman 9 ahli KanWork menyambut Aidiladha.
Masing-masing dapat beraya bersama keluarga.
“Saya raya rumah mak, raya haji memang rumah mak sebab cuti pendek”. (Puan Ain)
“Raya macam biasa dengan anak-anak, menantu dan dua cucu”. (Puan Jamaliah)
“…raya di Bangi saja”. (Puan Maznah)
“Raya di rumah, Alhamdulillah dapat solat Raya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah”. (Puan Norliza)
“Saya beraya di Ipoh Perak, raya pertama bertolak ke Ipoh”. (Puan Rozila)
“Balik ke Sungkai malam raya sebab masih bekerja hari Khamis”. (Puan Laila)
“Alhamdulillah raya Aidiladha dapat beraya di kampung bersama mak”. (Puan
Haliza)
“…Kali ini raya di Ipoh”. (Puan Halimaton)
“Saya dan anak-anak sambut hari raya Aidiladha disini”. (Puan Rogayah)
Ada juga yang tidak dapat berjumpa saudara mara. “…sepupu suruh balik
Singapore, apakan daya, sempadan masih belum dibuka untuk orang awam”. (Puan Rogayah).
Seperti biasa apabila tiba cuti musim perayaan, jalan raya pasti akan bertambah sesak. Demi berjumpa dengan keluarga tersayang, tetap diharungi:
“…banyaknya kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan pada hari Rabu malam dari KL ke Teluk Intan”. (Puan Haliza).
“…jalan tak sesak cuma adalah jem sikit. Accident tetapi kereta masih banyak walaupun raya pertama”. (Puan Rozila).
“…balik malam raya jam, balik ke Shah Alam pun jam, Traffic jam is a must now during Hari Raya!”. (Puan Laila).
“Bertolak balik dari Sungai Petani jam 1.00 tengahari, sampai Rawang 12.30 malam, jem!”. (Puan Halimaton).
“Alor Star yang ada jam nak keluar ke tol”. (Puan Norliza).
Bersyukur dapat balik kampung dan beraya bersama keluarga tahun ini. Silaturrahim dikekalkan. Dalam masa yang sama, patuhi SOP. Kita belum menang. Kita jaga kita.
Banyak lagi kisah Aidiladha PKPP mereka. Nantikan siri selanjutnya!

Monday, 3 August 2020

SEMBANG KanWork SIRI 1 (RAWATAN KANSER)




KanWork Stay @Home: CERITA KAMI - Siri 62

Siri 62: TERAPI SEORANG SURVIVOR
Saya didiagnos kanser payudara (Tahap 2) pada tahun 2013. Alhamdulillah, saya telah menjalani semua rawatan iaitu 2 pembedahan, 6 kemoterapi dan 23 radioterapi. Sedari awal disahkan sebagai pesakit kanser payudara, saya mula mencari maklumat dan menghubungi pelbagai NGO/persatuan seperti KanWork untuk mendapatkan ilmu dan cara penjagaan diri semasa rawatan.

Kini hampir 7 tahun saya dikenali sebagai survivor, menjalani kehidupan dengan tenang dan selesa. Syukur! Saya sentiasa menitikberatkan penjagaan diri, pemakanan serta emosi. Selain itu, sering memberikan sokongan dan menggembirakan insan yang senasib dengan saya. ‘My therapy’! Antaranya adalah;
1. Berjumpa dan mengenali sahabat semasa program KanWork. Ianya memberi satu aura positif dengan semangat, sokongan dan panduan yang dikongsikan.
2. Menimba pengalaman bersama ‘senior’ tentang penjagaan diri dan pemakanan serta emosi supaya dapat membina jatidiri pada diri sendiri.
3. Menziarahi/melawat rakan-rakan yang sedang dalam rawatan samada di wad atau di rumah.
4. Mengadakan lawatan bersama-sama untuk beramah mesra supaya ukhwah berpanjangan.
Kanser payudara adalah satu penyakit yang perlu kita kenali supaya kita boleh tangani. Masyarakat perlu tahu tentang penyakit ini dan bukan menjauhinya. Bila kita mengalaminya, semua disekeliling turut terkesan. Berilah sokongan dan panduan yang betul serta galakkan mereka untuk meneruskan rawatan yang disarankan pihak hospital.
Hajah Haliza Abdul Halim
Ahli KanWork/Mantan Ketua Biro Sokongan & Lawatan Pesakit KanWork